Saya akan buktikan saya tidak menerima rasuah – LGE

Saya akan buktikan saya tidak menerima rasuah – LGE

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bersedia untuk membersihkan namanya dan membuktikan beliau tidak bersalah daripada pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

“Ini tuduhan yang tidak berasas dan saya akan lawan untuk buktikan di mahkamah bahawa saya tidak bersalah dan tidak menerima wang,” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di pusat khidmatnya di Butterworth hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah ayahnya, Lim Kit Siang dan adik perempuannya Lim Hui Ying, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer serta peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Pagi tadi di Mahkamah Sesyen di Butterworth, Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM3.3 juta melibatkan projek jalan-jalan utama dan terowong di negeri ini.

Jumaat lepas, Lim turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor pada sidang media lain mengingatkan semua pihak termasuk penyokong yang akan mengikuti pendakwaan kes Lim dan isterinya, Betty Chew pada esok supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Beliau berkata pematuhan terhadap arahan dan SOP itu amat penting sebagai langkah keselamatan yang perlu diamalkan oleh semua pihak yang datang berhimpun di luar perkarangan mahkamah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, seorang petugas media surat khabar tempatan telah ditahan polis kerana cuba menggunakan dron tanpa kebenaran di luar perkarangan mahkamah.

Polis telah merampas dron dan kelengkapan elektronik petugas media berkenaan dan beliau telah dibawa ke balai untuk direkod keterangan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/538079

COMMENTS