Sanusi halau Gerakan keluar PN? Netizen teka tak lama lagi Bersatu pula kena halau

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Ekoran kesediaan Gerakan untuk memilih haluan baru semalam, seorang pemimpin kanan PAS menasihatkan parti tersebut agar “belajar menghormati” pihak lain.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Gerakan perlu belajar menghormati orang Melayu dan Islam di negara ini, bukannya membuat ugutan politik.

“Tak perlu ugut orang, kita semua sudah matang. Tak perlu ugut, sebaliknya belajar menghormati orang.

“Belajar hormat orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Tak perlu ugut-ugut, politik apa ugut-ugut ni? (Politik ugut-ugut ni) sudah lama,” katanya seperti yang dilapor oleh Malaysiakini.

Sanusi halau Gerakan keluar PN? Netizen teka tak lama lagi Bersatu pula kena halau

Pertembungan pendapat antara PAS dan Gerakan berpunca daripada perbezaan pendirian kedua-dua parti mengenai peranan syarikat arak dalam memudahkan kutipan dana untuk sekolah Cina.

Ketika beberapa pihak tidak bersetuju dengan pembabitan syarikat tersebut – seperti yang berlaku di Sepang baru-baru ini – Gerakan sebaliknya berpendapat ia tidak wajar disekat.

‘Tak reti hormat kita’

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily, menganggap pendirian Gerakan itu seiring dengan DAP.

Ini mengundang reaksi keras daripada PAS. Sebelum ini, teguran PAS kepada Gerakan telah dinyatakan oleh ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, serta timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menanggapi teguran tersebut, Gerakan berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia membolehkan mereka mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Menurut timbalan presiden parti itu, Oh Tong Keong, Gerakan juga tidak mahu kekal dalam PN jika mereka terpaksa tunduk terhadap sebarang tuntutan konservatif, tidak munasabah, dan melampau daripada “parti tertentu.”

Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, berkata dia sendiri tidak ada sebarang masalah jika Gerakan mahu keluar dari PN.

“Sila keluar, itu komen Sanusi.

“Memanglah, semua orang nak hormat dia (Gerakan) saja, sedangkan dia tak reti nak hormat kita.

“Takkan semua benda kita nak hormat dia? Dia tak perlu hormat kita kah?” katanya.

Sanusi juga menambah, teguran untuk menghormati orang Melayu dan Islam itu bukan hanya ditujukan kepada Gerakan, tetapi juga kepada semua parti yang berasaskan kaum di negara ini.

Untuk rekod, salah seorang Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, juga menyatakan rasa terbuka parti itu jika Gerakan mahu keluar dari PN.

Dipetik dari portal Free Malaysia Today, Mohd Amar berkata setiap parti mempunyai hak dan pendirian masing-masing, jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.

BACA: Sedar diri hidup sebatang kara di rumah anak yatim, remaja rahsiakan tawaran masuk Politeknik