Sanggup gadai nyawa demi negara, ini kisah ‘Misi Khas’ tentera Malaysia di kutub utara buat orang Russia pun pening
Bila bercakap mengenai kecintaan kepada negara, setiap orang pastinya mempunyai tafsiran yang tersendiri.
Malah, ada yang berusaha untuk mencipta pelbagai rekod dan sanggup bergadai nyawa demi mengharumkan nama negara.
Seperti Kapten (B) Abdul Rahmat Omar dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjadi salah seorang daripada penerjun bagi Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara pada tahun 1998.
Bagi yang belum tahu, ekspedisi tersebut berjaya mencipta rekod di Asia kerana rakyat Malaysia merupakan penerjun pertama dari negara beriklim tropika yang menjejakkan kaki ke Kutub Utara.
Selain Kapten Abdul Rahmat, ia turut disertai 15 lagi penerjun yang terdiri daripada Komando Tentera Darat (Gerak Khas), Komando Polis Diraja Malaysia (VAT69), Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL) dan TUDM (PASKAU).
Misi itu merupakan usaha untuk membuktikan kemampuan Malaysia yang berani mencuba sesuatu yang mencabar dan bersaing dengan negara-negara maju di dunia, sekaligus boleh mengharumkan nama negara.
Berkongsi mengenai pengalamannya dalam siaran langsung di Facebook Siakap Keli TV, beliau berkata ekspedisi tersebut dilakukan rentetan daripada ekonomi negara pada ketika itu mula merudum dan rakyat mengalami masalah kewangan.
Ketika itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memikirkan bahawa ekspedisi itu mungkin boleh menaikkan semangat rakyat.
Menariknya, ekspedisi yang berlangsung pada 18 April 1998 itu juga memperlihatkan sebuah Proton Wira turut diterjunkan di Kutub Utara.
“Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir mula memikirkan cara untuk menaikkan semangat rakyat dan juga mencari jalan bagaimana untuk memasarkan kereta Proton.
“Salah seorang anggota ekspedisi kami ketika itu berumur 21 tahun dan dia berkata mempunyai impian untuk terjun di Kutub Utara.
“Saya membuat kajian dan mendapati ada dua syarikat yang menganjurkan ekspedisi ke Kutub Utara iaitu di Amerika Syarikat dan Rusia. Kerana keadaan geopolitik yang memperlihatkan kita lebih rapat dengan Rusia pada ketika itu, maka keputusan dibuat untuk menggunakan Rusia sebagai ejen untuk membawa kita ke kutub utara,” katanya.
Mengenai penglibatan kereta Proton Wira, beliau menjelaskan bahawa ketika itu kenderaan tersebut belum dapat memasuki pasaran Eropah. Jadi salah satu cara untuk membuktikan bahawa kereta nasional Malaysia itu bagus untuk pasaran di sana adalah dengan membawanya ke satu tempat yang ekstrem.
Justeru, ia telah diterjunkan dengan menggunakan payung kargo dari ketinggian 1,000 kaki dan berjaya mendarat dengan lancar.
Mendarat di Kutub Utara pada jam 1.48 pagi waktu Malaysia, 21 April 1998
“Untuk rekod, tahun sebelumnya ada sebuah kereta jenama Eropah yang diterjunkan juga atas alasan yang sama. Tetapi apabila tiba di Kutub Utara, kereta itu mengalami masalah pada bahagian tayar dan enjin tidak dapat dihidupkan.
“Itu antara kerisauan kami tetapi Alhamdullilah semasa terjunkan kereta tersebut, yang menghidupkan enjin ialah orang-orang Rusia yang berada di bawah, kereta tersebut bergerak cuma salji terlalu tebal dan menyebabkan kereta tidak dapat bergerak dengan sempurna.
“Bila kereta mendarat dengan selamat, kami terbang semula ke paras 8500 kaki dan melakukan terjunan di situ,” ujarnya.
Bersama para penerjun Malaysia yang lain dengan kereta Proton Wira yang diterjunkan
Ditanya mengenai situasi sebelum berlepas ke Kutub Utara, beliau yang juga merupakan timbalan ketua penerjun pada ketika itu ditugaskan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli ekspedisi.
“Malam sebelum kami berlepas ke Kutub Utara, saya telah meminta kesemua ahli-ahli ekspedisi untuk menulis wasiat dan surat terakhir untuk keluarga.
“Sekiranya ada apa-apa berlaku, surat-surat tersebut akan dikirimkan kepada ahli keluarga,” katanya.
Selain itu, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi oleh ahli ekspedisi termasuk keadaan sejuk yang melampau.
Mereka pada ketika itu berada di Kutub Utara selama 19 jam kerana helikopter yang ditugaskan untuk mengambil mereka tidak boleh masuk ke kawasan tersebut disebabkan ribut salji.
Di Khatanga, Siberia, Russia sebelum berangkat ke Kutub Utara
“Kutub Utara hanya ada kepingan ais, kami tidur dalam khemah, bentangkan dengan kanvas tebal dan doktor minta kami tidur ikut giliran.
“Jadi itu antara cabaran yang dihadapi oleh kami, selain sejuk yang melampau. Nak minum air pun tidak boleh sebab air semua beku, jadi bila masak air dan air itu mendidih kami terus kena minum,” katanya.
Memegang bendera TUDM di Kutub Utara
Semangat kesemua penerjun itu turut dipuji oleh orang Rusia kerana mereka pun tidak sanggup untuk pergi ke Kutub Utara walaupun sememangnya tinggal dalam kawasan yang bersalji.
“Orang Rusia ada bertanya kenapa berani untuk jalankan ekspedisi ini, saya kata kami bukan nak buktikan apa-apa pada dunia, tetapi kami nak bantu negara kami naikkan semangat. Ketika itu, orang tengah kemurungan disebabkan oleh masalah ekonomi. Kita nak tunjukkan bahawa tiada apa yang mustahil,” katanya.
Ketibaan pesawat yang membawa kami pulang ke Khatanga, Siberia, Russia dari Kutub Utara
Selepas ekspedisi di Kutub Utara, beliau telah mencipta satu lagi rekod iaitu membuat penerjunan payung terjun yang pertama dari Menara Kuala Lumpur sempena ulang tahun ketiga Menara Kuala Lumpur pada 1999.
Sebelum melakukan terjunan BASE dari Menara KL pada 3 Oktober 1999
Mengakhiri perkongsiannya, beliau berkata setiap orang perlu belajar untuk berusaha dan melihat sejauh mana diri mampu melakukan sesuatu supaya tidak mudah mengalah.