Seorang wanita tanpa mendedahkan identitinya berkongsi kisah penyesalan yang pernah dilaluinya kerana terlalu menyayangi bekas teman lelaki.
Dia mengaku telah membuat keputusan tidak bijak dengan sanggup berhutang demi membantu kekasihnya membeli kereta baharu.
“Nak kongsi penyesalan hidup saya. Disebabkan boyfriend, saya pinjam dengan dua syarikat pinjaman wang berlesen (PWB),” katanya.
Wanita itu menjelaskan, dia meminjam RM2,400 daripada PWB pertama tetapi hanya menerima RM2,000 selepas tolak caj,
manakala daripada PWB kedua, dia meminjam RM1,500 tetapi hanya dapat RM1,250. Secara keseluruhan, hutang yang ditanggungnya berjumlah RM3,900.
Namun, apa yang membuatkan situasi ini lebih membebankan adalah kadar bunga yang tinggi. Setiap bulan, dia perlu membayar RM680 selama setahun, jumlah yang sangat besar sehingga menyebabkan komitmen pentingnya tertunggak selama dua bulan.
Akibat tekanan kewangan yang dialaminya, wanita ini akhirnya mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menguruskan hutang yang melambung. Kecewa dengan situasi itu, dia akhirnya membuat keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya.
“Jangan risau, maruah saya masih terjaga. Alhamdulillah,” tulisnya di media sosial. Dia tidak menjelaskan sama ada bekas teman lelakinya turut membantu melangsaikan hutang tersebut atau tidak.
Pengajaran yang Diperoleh
Kisah wanita ini mendapat perhatian ramai di media sosial. Netizen tampil dengan pelbagai reaksi, memuji keberaniannya mengambil langkah keluar daripada hubungan yang tidak membawa kebaikan.
“Syukur awak sedar awal. Bayangkan kalau awak kahwin dengannya, mungkin lagi banyak beban yang perlu ditanggung,” tulis seorang pengguna.
“Pengalaman ini mahal harganya. Lain kali, jangan terlalu baik hati sampai kita sendiri yang rugi. Fokus pada diri dan masa depan,” tambah seorang lagi.
Bagi wanita itu, pengalaman pahit ini menjadi peringatan untuk tidak lagi terlalu mudah mempercayai atau membantu seseorang sehingga merugikan diri sendiri.
Seperti kata seorang netizen, “Kadang-kadang, kita perlu utamakan diri sendiri. Syukur awak dah keluar daripada hubungan toksik itu. Semoga bertemu jodoh yang lebih baik.”
BACA: Gempar!! Peguam kerajaan dedah lembaga pengampunan tak bincang tahanan rumah