Saksi belot : Pertuduhan rasuah terhadap Zahid Hamidi tidak boleh bertahan – Peguam

Zahid

Saksi belot : Pertuduhan rasuah terhadap Zahid Hamidi tidak boleh bertahan.Tiga daripada lapan pertuduhan rasuah yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi tidak boleh bertahan selepas saksi utama pendakwaan memberikan keterangan yang tidak boleh dipercayai pada perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Mahkamah Tinggi dimaklumkan hari ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa pendakwaan sendiri telah mengemukakan aduan mengenai keterangan saksi utamanya Junaith Asharab Md Shariff dan memohon mahkamah menganggap beliau sebagai saksi belot.

“Junaith Asharab, yang juga saksi pendakwaan ke-36, dalam kenyataan bertulisnya menyebut tertuduh (Ahmad Zahid) telah berjanji untuk memberikan projek MYEG bernilai kira-kira RM50 juta selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan meminta beliau menyerahkan kertas cadangan (bagi projek itu).

“Ketika disoal balas, Junaith Asharab berkata apa yang terdapat dalam kenyataan bertulisnya mengenai perkara ini adalah tidak benar. Terdapat percanggahan keterangan yang serius. Oleh itu, beliau bukan lagi saksi yang boleh dipercayai dalam aspek ini,” hujahnya di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pertuduhan

Beliau juga berhujah bahawa mahkamah hendaklah menolak keterangan bercanggah Junaith Asharab berhubung perkara ini kerana ia tidak boleh dipercayai.

“Apabila saksi utama pendakwaan dengan jelas memberikan jawapan yang bercanggah berkaitan keterangan pentingnya, kebolehpercayaan beliau sudah terjejas. Faedah kesangsian mestilah memihak kepada pembelaan. Atas alasan ini sahaja, pertuduhan ke-11, 12 dan 13 yang dihadapi tertuduh tidak boleh bertahan,” kata Hisyam.

Pertuduhan ke-11 mendakwa Ahmad Zahid menerima rasuah daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services dalam bentuk cek Public Islamic Bank Berhad bernilai RM250,000 milik Jogabonito Jewellery & Diamonds melalui Junaith Asharab yang dideposit ke dalam akaun Maybank Tetuan Lewis & Co.

Bagi pertuduhan ke-12, beliau didakwa menerima rasuah daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services dalam bentuk 13 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernilai RM8 juta milik Mastoro Kenny IT Consultant & Services melalui Junaith Asharab yang dideposit ke dalam akaun Maybank Tetuan Lewis & Co.

Pertuduhan ke-13 pula mendakwa Ahmad Zahid menerima rasuah daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services dalam bentuk 10 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernilai RM5 juta milik Berani & Jujur Trading melalui Junaith Asharab yang dideposit ke dalam akaun Maybank Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid, 68, didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan bagi membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services mendapatkan projek MyEG yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

Pembelaan akan menyambung hujah pada 20 September depan.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembelaan-dakwa-pertuduhan-rasuah-terhadap-zahid-hamidi-tidak-boleh-bertahan-319983

BACA: Wanita hampir dibunuh suami gara-gara menag loteri RM31.6 juta

CATEGORIES