Saintis temui virus mirip Covid-19 pada kelawar di Thailand

Saintis temui virus mirip Covid-19 pada kelawar di Thailand

Sehingga kini sebanyak 192 negara telah berdepan dengan pandemik COVID-19 sejak wabak itu dilaporkan mula dikesan di Wuhan, China pada penghujung 2019.

Selepas lebih setahun dunia berdepan ancaman tersebut, banyak kajian telah dilakukan daripada pelbagai pihak termasuk mendakwa wabak tersebut bukan berasal dari daerah di Negara Tembok Besar itu.

Malah, ada yang mendakwa kemungkinan virus itu berasal daripada haiwan. Namun, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menjalankan siasatan untuk mengesan dari mana asal virus tersebut.

Terbaharu, satu kajian yang dijalankan para saintis mendakwa koronavirus yang berkait dengan Sars-CoV-2 (COVID-19) mungkin ditemui daripada kelawar yang berada di beberapa kawasan di Asia.

Mereka mendakwa menemukan virus yang hampir sama dengan virus yang menyebabkan COVID-19 pada kelawar berdekatan kawasan perlindungan hidupan liar di timur Thailand.

Menerusi laporan yang diterbitkan di laman sesawang Nature Communications dakwa para penyelidik itu lagi, persampelan yang dilakukan adalah terhad namun mereka yakin bahawa koronavirus “yang mempunyai hubungan genetik yang tinggi dengan Sars-CoV-2 terdapat pada kelawar di banyak negara dan wilayah di Asia.

Kajian yang diketuai oleh penyelidik dari Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura, Profesor Wang Linfa itu mengesan kehadiran virus mirip Sars-CoV-2 dalam spesies kelawar ladam kuda (horseshoe bat), didakwa di sebuah gua buatan di kawasan perlindungan hidupan liar di Thailand.

Virus dikenali sebagai RacCS203 itu mempunyai persamaan 91.5 peratus dengan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

Ia juga berkait rapat dengan koronavirus lain yang dikenali sebagai disebut RmYN02 – yang terdapat pada kelawar di wilayah Yunnan, China dengan persamaan genetik 93.6 peratus.

“Kita perlu melakukan lebih pengawasan terhadap haiwan. Bagi mencari dari mana virus itu sebenarnya berasal, pengawasan perlu melangkaui sempadan China,” kata Linfa.

Dilaporkan bagi menentukan sama ada sesuatu spesies adalah pembawa koronavirus, persamaan genetik perlu melebihi 99 peratus antara genom SARS-CoV-2 dan virus pada haiwan berkenaan.

Sementara itu, salah seorang daripada pasukan penyelidik antarabangsa, Dr Thiravat Hemachudha dari Universiti Chulalongkorn Bangkok, Thailand berkata:

“Virus pada kelawar di Thailand dan China bertindak sebagai ‘templat sempurna yang dapat bergabung semula dengan yang lain dan akhirnya berkembang sebagai patogen baharu, di mana salah satunya ialah virus COVID-19.”

Dalam perkembangan sama, para penyelidik juga memeriksa antibodi dalam kelawar dan tenggiling yang dirampas di selatan Thailand.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/benarkah-virus-mirip-covid19-ditemui-pada-kelawar-di-gua-buatan-di-thailand-282676