Saiful Apek dedah pernah terima dua guni surat dari peminat ketika awal pembabitan dalam dunia seni

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek, 55, mendedahkan ketika awal pembabitannya bersama dengan kumpulan Senario

, dia pernah dihujani kecaman kerana dianggap tidak sesuai dengan kumpulan itu.

Menurut Apek, pembabitan awalnya pada 1996 mendapat kritikan teruk apabila kebanyakan peminat kumpulan pelawak

itu meminta dikembalikan semula Hamdan dan Ilya Buang atau Pak Ya bersama Senario.

Dia juga dikecam kerana dikatakan tidak kelakar selain pernah menerima surat kebencian dari peminat.

Saiful Apek dedah pernah terima dua guni surat benci dari peminat ketika awal pembabitan dalam dunia seni

“Saya dikatakan tidak lawak dan diminta pergi ke Melodi bekerja terus dengan Kak Ogy. Saya pun mulanya tak nak juga masuk Senario ketika itu sebab fikir tak layak untuk bersama mereka.

“Kerdil sangat diri saya masa itu untuk bergabung dengan Senario.

“Saya sendiri rasa tak boleh, tapi kehendak syarikat dan kita hormatilah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ditanya jumlah kiriman surat peminat pernah diterimanya, pelakon filem Duyung ini berkata sangat banyak hingga tidak terkira kerana semuanya dimasukkan di dalam guni.

“Seingat saya, ketika itu saya dapat dua guni surat yang isinya surat mengutuk saja. Menitik-nitik air mata saya membaca surat-surat itu, sebab rata-rata peminat Senario tidak boleh terima saya.

“Itulah ‘circle haters’ gelombang pertama yang boleh dikatakan saya pernah hadapi dulu. Banyak yang saya belajar dari situ untuk membantu saya menghadapi golongan netizen di media sosial sekarang,” katanya seperti dilapor.

Selain Apek, kumpulan Senario yang sudah bertahan kira-kira 28 tahun dalam industri hiburan tempatan dianggotai Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya dan Yassin Yahya. Manakala, seorang lagi Allahyarham Hamdan Ramli meninggal dunia pada Jun lalu.

Baca juga: ‘Mahal baju tu, RM50 punya sudahlah!’ Isteri tebalkan muka malu bila suami sound depan orang ramai