Sahkah tindakan PN belanja RM295 bilion wang negara tanpa lalu Parlimen?

Sahkah tindakan PN belanja RM295 bilion wang negara tanpa lalu Parlimen?

Apakah Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin sebuah kerajaan yang sah yang boleh membelanjakan sejumlah wang negara berjumlah RM295 bilion tanpa diluluskan oleh Parlimen?

Ada hujah yang menyatakan Muhyiddin adalah perdana menteri yang sah kerana pada 1 Mac 2020 beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43(2)(a)

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Hujah tersebut benar hanya setakat isu pelantikan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a). Tetapi sama ada Muhyiddin benar-benar mempunyai jumlah sokongan majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat perlu dibuktikan secara sahih di dalam prosiding Dewan Rakyat.

Bukan berdasarkan akuan bersumpah (SD) yang dibawa ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong. Bukan juga melalui kiraan susunan kerusi di blok kerajaan. Apa yang sah dikira ialah jumlah undi ahli Dewan Rakyat yang hadir dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat tersebut.

Sistem demokrasi di Malaysia mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) adalah kuasa Institusi Raja yang diterima pakai oleh Perlembagaan Persekutuan. Undi percaya di Dewan Rakyat terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin pula adalah kuasa Parlimen dalam menentusahkan kepercayaan terhadap seseorang perdana menteri.

Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin sepatutnya pada 18 Mei 2020 yang lalu membawa usul percaya terhadap Muhyiddin. Usul Percaya tersebut adalah usul dari kerajaan PN.
Usul undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad boleh ditangguhkan kemudian. Usul percaya dari kerajaan PN adalah urusan kerajaan dan perlu diutamakan. Jika usul percaya itu lulus dengan sendirinya usul tidak percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi terbatal dengan sendirinya.

Peluang untuk Muhyiddin membuktikan beliau ada sokongan majoriti telah terlepas. 18 Mei lalu adalah masa yang seawal mungkin untuk Mahyuddin menyelesaikan isu keabsahannya sebagai perdana menteri.Tetapi peluang itu telah terlepas.

Jadi soal sah atau tidak kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin berleret-leret sampai sekarang.

Bolehkah tanpa ada semakan, perbahasan dan kelulusan di Parlimen, Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin yang keabsahannya dipersoalkan membelanjakan wang negara sebanyak RM295 bilion begitu sahaja?

Sumber:

COMMENTS