Saham TNB merosot selepas Mahdzir dilantik pengerusi TNB?

Saham TNB merosot selepas Mahdzir dilantik pengerusi TNB?

Semalam Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mahdzir Khalid, sekali lagi jadi tajuk berita dalam kes perbicaraan rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Tapi itu bukanlah apa yang hendak saya kongsikan. Saya hendak cerita sikit tentang harga saham TNB sejak Muhyiddin Mohd Yassin lantik Mahdzir jadi Pengerusi GLC raksasa itu 8 Mei lalu.

Sebelum itu saya ambil maklum amaran bekas Menteri Pelajaran kerajaan Barisan Nasional itu yang dia akan ambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang pertikai pelantikannya sebagai numero uno TNB.

Yang hendak saya ceritakan ini maklumat pasaran yang ada dalam pengetahuan umum atau “public domain”. Ia berkaitan dengan harga saham TNB sejak Mahdzir jadi orang nombor satunya.

Pada hari TNB bagi tahu Bursa Malaysia yang ia telah lantik Mahdzir jadi Pengerusi pada 8 Mei, harga saham TNB adalah RM12.34 atau lebih kurang RM69.2 bilion dalam bentuk modal pasaran atau “market capitalization”.

Lantikan itu berlaku serentak dengan kenaikan meluas harga saham di Bursa Malaysia. Anihnya harga saham TNB bukan saja tidak naik sebaliknya turun. Boleh jadi sebab kegiatan ekonomi umumnya lembap. Tapi khabarnya permintaan domestik naik akibat PKP dan pengguna bersungut bil melambung.

Semalam 3 Ogos, saham TNB berharga RM11.10. Maknanya sudah merosot RM1.24 sejak Mahdzir jadi Pengerusi Lembaga Pengarah TNB.

Saya tak kata harga saham TNB jatuh pasal Mahdzir jadi Pengerusi. Tapi secara kebetulan, harga jatuh sejak dia jadi Pengerusi. Tak ong, kata orang yang main saham. Sepanjang tahun ini, harga saham TNB pernah naik hingga RM13.26 iaitu pada 3 Januari.

Wallahuaklam. Terima kasih.

A Kadir Jasin

Sumber :

COMMENTS