RUU355 : Salahkan DAP langkah paling mudah tutup kegagalan sendiri

RUU355 : Salahkan DAP langkah paling mudah tutup kegagalan sendiri

Saya pernah dituduh ‘pengkhianat agama’ dan ‘penganut ajaran DAP’ hanya kerana mempersoalkan kewajaran usul untuk meminda Akta 355 ini dibawa oleh ahli persendirian dan bukannya melalui usul kerajaan.

Walhal argumen kami jelas, isu RUU355 itu hanya perlu dibawa oleh pihak kerajaan sendiri tanpa perlu dipolemikkan sementelah UMNO selaku parti kerajaan ketika itu, turut menyokongnya!

Masakan menteri yang memegang portfolio agama ketika itu sendiri turun ke Padang Merbok, bahkan beliau menyampaikan pula ‘salam’ oleh Perdana Menteri kepada para peserta Himpunan 355? Maka apa lagi halangan untuk kerajaan sendiri membentangkan usul pindaan Akta 355 secara terus di Parlimen ketika itu?

Sebaliknya siapa yang kalian salahkan? DAP, DAP dan DAP!

Nah, hari ini, DAP bukan lagi sebahagian parti kerajaan malah kerajaan yang dikatakan diwakili majoriti pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam kabinet mahupun Dewan Rakyat, namun mengapa tiada langsung keutamaan mengangkat usul dan isu RUU355 ini yang dahulunya kalian amat-amat mahu ianya dilaksanakan segera bagaikan tiada lagi hari esok?

Bahkan jawapan Timbalan Menteri Agama di parlimen hari ini, dilihat seolah-oleh kerajaan mahu mengelak langsung daripada menyelesaikan secara tuntas isu RUU355 yang pernah menjadi ‘hantu’ dan penyebab betapa ramai umat Islam dikafirkan dan dimunafikkan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan usul pindaan tersebut suatu ketika dahulu.

Malah jawapan Timbalan Menteri itu juga seakan mengiyakan betapa argumen kami suatu ketika dahulu itu amat berasas. Tapi sebaliknya kami dituduh penentang Islam dan hukum Tuhan?

Apakah masih tidak cukup kuat kedudukan pendokong-pendokong atau pejuang-pejuang RUU355 dalam kerajaan hari ini? Apakah tokoh ‘wira RUU355’ yang diangkat menjadi Menteri Undang-undang hari ini, tidak ada kekuatan untuk memberi keutamaan membawa perjuangan yang dikatakan ‘nyawa’ kepada parti kalian itu?

Bahkan seorang mantan Mufti yang turut bersama-sama berikrar di Padang Merbok memperjuangkan isu RUU355 ketika himpunan yang kalian anjurkan dahulu, hari ini dilantik menjadi Menteri Agama dan bertanggungjawab langsung terhadap undang-undang syariah ini, justeru apa lagi yang diragukan?

Tidakkah kalian rasa bersalah menipu ahli-ahli parti di bawah sana yang bermati-matian percaya perjuangan yang kalian bawa dan bergolok bergadai menghadiri perhimpunan yang akhirnya menjadi kerja sia-sia di tangan kalian?

Maaflah, saya pernah menuduh bahawa isu RUU355 adalah sandiwara politik yang sengaja dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu-Islam secara khususnya UMNO dan PAS. Bahkan isu ini adalah kemuncak agenda pembodohan untuk mengapi-apikan sentimen di kalangan orang-orang Melayu-Islam.

Hari ini, saya sama sekali tidak akan menarik balik tuduhan di atas kerana ia ternyata benar. AlhamduliLlah ijtihad keluar PAS dahulu adalah tepat!

Moga umat Melayu hari ini juga tidak terus diperbodohkan pemimpin-pemimpin politik yang hanya mempergunakan agama dan bangsa demi laba politik singkat.

ALlahulmusta’an.

Sumber :