Rupanya Pluto bukan lagi sebuah planet, ini yang terjadi sebenarnya
Sejak kecil, kita sudah diberikan pendedahan berkaitan ruang angkasa khususnya dalam mata pelajaran Sains.
Umumnya, masih banyak lagi mengenai angkasa atau cakerawala yang perlu diterokai oleh para saintis.
Dalam sistem suria, Matahari merupakan pusat kepada seluruh planet yang mengorbit dalam jarak dan tempoh yang tertentu.
Terdapat sembilan planet dalam sistem solar bermula dengan Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto.
Bagaimanapun, ramai yang menganggap kesemua planet adalah sembilan namun tidak. Tahukah anda sebenarnya Pluto tidak diiktiraf sebagai sebuah planet?
Hal ini secara tidak langsung bilangan planet dalam sistem solar ialah lapan planet. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian di bawah.
Mengapa Pluto Tidak Diiktiraf Sebagai Planet?
Menurut Jabatan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Pluto telah diiktiraf sebagai “planet kerdil”.
Sementara itu, dalam kenyataan Britannica menjelaskan bahawa pada tahun 2006 Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah mengumumkan planet kesembilan itu tidak lagi diiktiraf sebagai planet.
Tambah IAU, Pluto hanya dikategorikan sebagai planet kerdil kerana tidak mencukupi kriteria sebuah planet. Kriteria yang diperlukan untuk mengiktiraf sesebuah bintang itu sebagai planet termasuklah objek yang cukup besar untuk mengorbit (mengelilingi) matahari, bulat (sfera) dan membersihkan serpihan atau objek berdekatan.
Bagaimanapun, Pluto hanya mempunyai memiliki ciri sfera sahaja yang menyebabkanya ditolak daripada menjadi sebuah planet.
Pada 14 Julai 2015, saintis telah membuat penerbangan bersejarah melalui sistem Pluto bagi mengambil imej dari jarak dekat buat kali pertama menggunakan kapal angkasa New Horizons NASA.
Hasil data yang diperolehi daripada kajian tersebut telah mengubah pemahaman dunia tentang misteri yang terdapat di dalam sempadan sistem suria.
Pluto Tak Lagi Dianggap Sebagai Sebuah PlanetGambar: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Southwest Research Institute
Ketua Penyelidik New Horizons dari Institut Penyelidikan Barat Daya Boulder di Colorado, Alan Stern berkata, pasukannya telah bekerja selama 15 tahun untuk melaksanakan misi ini.
“Kami tidak dapat meneroka planet yang lebih menarik atau penting secara saintifik di pinggir sistem suria kita,” katanya.
Oleh itu, Pluto dikenali sebagai planet kerdil di Kuiper Belt di luar orbit Neptun jauh dari sistem suria kita.
Sejarah Penemuan Pluto
Pada tahun 1906, seorang penduduk kaya Boston, Percival Lowell telah mengasaskan Balai Cerap Lowell di Flagstaff, Arizona pada tahun 1894. Dia memulakan rancangan untuk mencari planet kesembilan yang dipanggil “Planet X”.
Menjelang tahun 1909, seorang ahli astronomi, Clyde W. Tombaugh bersama bantuan rakannya William H. Pickering telah mencadangkan beberapa kemungkinan koordinat (lokasi) angkasa bagi Planet X namun gagal sehingga kematian Percival pada tahun 1916.
Walau bagaimanapun, tanpa disedari, balai cerap itu telah berjaya menangkap dua imej Pluto secara samar. Difahamkan, terdapat 16 pra-penemuan yang dibuat termasuk oleh balai cerap tertua, Balai Cerap Yerkes (20 Ogos 1909).
Namun, pencarian planet kesembilan itu terhenti dan tidak diteruskan sehingga tahun 1929. Setelah tugas itu diambil alih oleh Clyde Tombaugh (berusia 23 tahun ketika itu).
Pluto pertama kali ditemui pada 18 Februari 1930 di Balai Cerap Lowell di Flagstaff, Arizona olehnya setahun kemudian bersama bantuan William H. Pickering pada ketika itu.
Susulan berita itu, ia telah ditelegrafkan ke Balai Cerap Kolej Harvard pada 13 Mac 1930 sehingga menjadi topik hangat dunia pada ketika itu.
Penemuan itu membuatkan ramai yang tertannya-tanya akan nama planet berkenaan. Difahamkan, lebih 1,000 cadangan nama planet telah diterima dari seluruh dunia.
Planet yang dijumpai itu telah dinamakan sebagai Pluto menerusi cadangan oleh seorang kanak-kanak, Venetia Burney yang masih berusia 11 tahun yang tinggal di Oxford, England.
Dia mendapat inspirasi nama itu sewaktu berbual bersama datuknya, Falconer Madan iaitu seorang bekas pustakawan di Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford.
Datuknya kemudian telah menghantar cadangan tersebut kepada Profesor Herbert Hall Turner yang menghantar kepada rakan sekerjanya di Amerika Syarikat. Oleh itu, planet tersebut secara rasmi menjadi Pluto pada 1930 dan diumumkan pada 1 Mei 1930.
Sebagai ganjaran terhadap cadangan tersebut, Venetia telah menerima sebanyak RM26.51 (£5) ketika itu.
10 Fakta Menarik Tentang Pluto
Menurut NASA, terdapat 10 fakta menarik mengenai Pluto seperti berikut;
Dunia (Planet) Kecil
Pluto sebuah bintang yang kecil. Oleh itu, ia mempunyai lebar kira-kira 2,380 kilometer (1,400 batu). Lebar tersebut hanyalah separuh daripada Amerika Syarikat atau dua per tiga lebar bulan.
Jarak Yang Jauh
Jarak antara Pluto dan orbit Matahari adalah kira-kira 5.8 bilion kilometer (3.6 bilion batu). Secara purata, jarak tersebut adalah 40 kali lebih jauh dari jarak Bumi. Ia juga berada di rantau yang dipanggil Kuiper Belt.
Mengambil Waktu Yang lama
Difahamkan, setahun di Pluto bersamaan 248 tahun di Bumi. Manakala sehari di bintang itu bersamaan 153 jam atau enam hari di Bumi. Hal ini kerana pluto mempunyai orbit yang jauh lebih besar untuk melengkapkan satu pusingan yang lengkap.
Kecil Dari Segi Saiz & Tidak Penting
Dengan saiz yang kecil dan tidak membawa kepentingan, Pluto telah dikasifikasikan sebagai sebuah planet kerdil atau dwarf planet.
Jerebu
Menurut NASA, Pluto mempunyai atmosfera yang nipis nitrogen, gas metana, dan karbon monoksida. Tambahan lagi, atmosferanya berwarna biru dan mempunyai lapisan jerebu yang berbeza.
Tarian Bulan
Di Pluto, terdapat lima jenis bulan. Bulan yang terbesar dikenali sebagai Charon. Akibat kedua-duanya mempunyai saiz yang hampir sama, ia kelihatan seperti dua planet sedang mengorbit antara satu sama lain.
Tiada Gegelung (Cincin)
Untuk pengetahuan, Pluto tidak mempunyai sistem gegelung (cincin).
Capaian (Sole Encounter)
Hanya kapal angkasa New Horizons NASA satu-satunya yang pernah melalui berhampiran Pluto pada tahun 2015.
Persekitaran Yang Ekstrem
Cuaca di Pluto adalah sangat ekstrem untuk mana-mana hidupan mendiami. Suhu pada permukaan Pluto sangat sejuk dan mencecah -228 hingga 238 darjah Celsius (-378 hingga -396 darjah Fahrenheit).
Dengan cuaca seperti itu sudah cukup untuk menggambarkan tiada kehidupan yang mampu bertahan hidup di sana.
Cadangan Dari kanak-Kanak
Pada tahun 1930, seorang kanak-kanak bernama Venetia Burney mencadangkan nama planet itu sewaktu berusia 11 tahun.