Rupanya keputusan PAS lancar ‘derma jihad’ kalah saman fitnah demi raih simpati

Oleh DAHLIA MARZUKI

Keputusan PAS melancarkan tabung “derma jihad” bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad,

Membayar saman fitnah telah mencetuskan kontroversi apabila ia dianggap seolah-olah menghalalkan fitnah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan langkah itu sebagai strategi PAS untuk mensensasikan isu demi meraih simpati rakyat.

“Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menyatakan bahawa tidak salah ahli PAS membantu Siti Mastura membayar saman tersebut. Namun, beliau tidak mengemukakan dalil syar’ie.

“Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Khairuddin At-Takiri, turut membidas langkah ini.

Rupanya keputusan PAS lancar 'derma jihad' kalah saman fitnah demi raih simpati

Beliau merujuk Surah Al-Maidah ayat 2, yang menyebut larangan bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan.

“Adakah fitnah dalam tafsiran PAS berbeza dengan tafsiran mahkamah? Dalam tafsiran PAS, nampaknya ‘fitnah ditanggung halal’,” tulis Puad dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, PAS dikatakan menganjurkan kutipan derma bagi membantu Siti Mastura membayar ganti rugi saman fitnah sebanyak RM825,000 kepada pemimpin DAP.

Kes saman itu berkaitan dengan dakwaan Siti Mastura yang mengaitkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebagai keluarga kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, serta menuduh Teresa Kok mempunyai hubungan keluarga dengan Lim.

Dalam surat yang tular di media sosial, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menjelaskan bahawa kenyataan tersebut dibuat oleh Siti Mastura ketika berkempen dalam pilihan raya kecil di Kemaman.

Takiyuddin turut menekankan bahawa kegagalan membayar saman itu boleh membawa kepada prosiding kebankrapan, yang akhirnya boleh menyebabkan kehilangan kerusi parlimen Siti Mastura dan memaksa pilihan raya kecil diadakan.

Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, PAS menganjurkan kutipan derma dengan menetapkan sumbangan minimum:

Ketua jawatankuasa PAS pusat, negeri, bahagian, dan cawangan dikehendaki menderma sekurang-kurangnya RM500 seorang.
Setiap bahagian negeri serta sayap PAS di peringkat persekutuan, negeri, dan bahagian perlu mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000.

Langkah ini terus menjadi topik hangat, dengan ramai pihak mempertikaikan tindakan PAS mengumpul dana untuk tujuan tersebut.

BACA: Gus Miftah buat hal lagi! Paksa penerima bantuan jalan itik sebelum ambil duit