Rupanya ini sebab tak digalakkan pasang ayat ruqyah ketika perjalanan jauh, cukup buat 3 saranan ini

Oleh AHMAD SULAIMAN

Amalan membaca dan menghayati ayat-ayat al-Quran setiap hari memberi pelbagai manfaat, termasuk perlindungan dan mengelakkan gangguan ghaib.

Namun, adakah sesuai untuk memasang ayat ruqyah ketika dalam perjalanan, khususnya di dalam kereta?

Menurut Ustaz Dhomir Prai, seorang pengamal perubatan Islam, tindakan memasang ayat ruqyah semasa memandu ke kawasan jauh atau asing sebenarnya tidak digalakkan

Meskipun kelihatan seperti langkah baik, ia boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Sebab Tidak Disarankan

Rupanya ini sebab tak digalakkan pasang ayat ruqyah ketika perjalanan jauh, cukup buat 3 saranan ini
1. Gangguan Makhluk Halus

Membuka ayat ruqyah di kawasan asing berpotensi mengganggu makhluk halus, terutama jin yang mendiami kawasan hutan atau jalan sunyi.

Menurut Ustaz Dhomir, perbuatan ini juga dianggap kurang beradab jika bacaan dipasang sambil bercakap atau melakukan perkara lain.

“Apabila kita membuka ayat-ayat ruqyah dalam kereta sambil bercakap, ia menunjukkan kita tidak menghormati bacaan tersebut. Tanpa penghormatan, tiada rahmat buat kita,” jelas beliau.

Pendakwah bebas, Ustaz Muhaizad Muhammad, pula menyarankan agar memadai membaca doa menaiki kenderaan serta ayat Kursi. “Elakkan memasang ayat-ayat Manzil atau ruqyah kerana ia mengganggu. Kita mungkin melalui kawasan yang dihuni makhluk lain,” tambah beliau.

2. Risiko Kemalangan

Gangguan makhluk halus juga boleh meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya jika terdapat penumpang yang sensitif atau pernah mengalami gangguan jin. Bacaan ruqyah berpotensi mencetuskan rasa cemas atau panik, yang membahayakan nyawa.

Beberapa pengguna TikTok turut berkongsi pengalaman menyeramkan apabila memasang ayat ruqyah dalam kereta. Ada yang menyaksikan penumpang bertindak aneh, seperti ketawa sendiri atau menangis secara tiba-tiba.

Alternatif yang Disarankan

Untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan diberkati, berikut adalah amalan yang boleh dipraktikkan:

Amalkan Doa Perjalanan

Sebelum memulakan perjalanan, baca doa menaiki kenderaan dan doa pendinding. Ini adalah sunnah Rasulullah SAW yang membawa ketenangan kepada pemandu dan penumpang.

Pasang Bacaan Surah Lain

Pilih surah seperti Yasin, Al-Mulk, atau Al-Waqiah yang bersifat menenangkan dan membawa keberkatan tanpa risiko gangguan.

Putarkan Selawat

Selawat dapat menenangkan suasana, memberi manfaat kepada persekitaran, dan memastikan perjalanan lebih lancar.

Peranan Ayat Ruqyah

Ayat ruqyah dirancang khusus untuk rawatan sihir, penyakit, atau gangguan makhluk halus dan tidak wajar dimainkan secara sembarangan.

Sentiasalah beradab dengan bacaan al-Quran agar perjalanan anda selamat dan diberkati oleh Allah SWT.

BACA: Amar Baharin dedah perkembangan terkini isu tanah keluarga yang bertindih