Gerakan boikot yang dilancarkan oleh penyokong bola sepak tempatan menjadi kenyataan apabila hanya 3,000 keping tiket dilaporkan terjual
untuk menyaksikan perlawanan Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Tinjauan pada jam 7 petang tadi menunjukkan persekitaran stadium agak lengang,
Dan jumlah peniaga juga kelihatan kurang berbanding kebiasaan semasa perlawanan melibatkan Harimau Malaya.
Lebih mengecewakan, beberapa penyokong yang ditemui mengakui kehadiran mereka ke stadium adalah kerana menerima tiket percuma.
Dua penyokong wanita, Mas Amirah Mohamad Azhar, 25, dan Nurul Amira Abdullah, 27, berkata mereka agak terkejut dengan keadaan stadium yang tidak seperti yang dijangkakan.
“Boikot adalah isu di luar padang, jadi sebagai penyokong, kita perlu profesional dan terus memberi sokongan kepada pemain. Tetapi saya terkejut kerana tidak ramai penyokong yang hadir untuk perlawanan malam ini.
“Walaupun kehadiran tidak ramai seperti kebiasaan, kami berharap sokongan yang ada dapat memberikan motivasi kepada pemain yang berjuang di atas padang. Mungkin suasana akan berbeza pada perlawanan akhir nanti,” kata Mas Amirah.
Nurul Amira berharap keputusannya untuk hadir ke stadium akan diakhiri dengan kegembiraan dan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.
“Saya harapkan skuad negara dapat menang malam ini. Saya jangkakan kita akan menang 2-0 ke atas Filipina,” katanya.
Sebelum ini, terdapat gerakan yang diatur oleh Pemain Ke-12 untuk memboikot perlawanan Pestabola Merdeka, disebabkan ‘Ekor Harimau Malaya’ yang terasa hati dengan industri bola sepak tempatan.