Tentera Darat Malaysia (TDM) merupakan sebuah organisasi yang unik dan tersendiri serta komponen terbesar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut laman portal rasmi TDM, terdapat 16 Kor dan Rejimen yang mempunyai fungsi dan peranan masing-masing.
Fungsi dan peranan setiap Kor dan Rejimen adalah berbeza berdasarkan tugas dan kepakaran.
Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal
Justeru itu, berdasarkan kepada kepakaran, Kor dan Rejimen ini dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu kelompok tempur, kelompok bantuan tempur dan kelompok bantuan perkhidmatan.
KELOMPOK TEMPUR
Kelompok ini melibatkan anggota dan sistem tempur yang berada di barisan hadapan dalam peperangan. Antara Kor/Rejimen dalam Kelompok Tempur ialah seperti berikut:
Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
RAMD ditubuhkan pada 1 Mac 1933 dan merupakan pasukan terunggul serta rejimen tertua dalam TDM yang dianggotai sepenuhnya oleh anak watan Melayu.
Pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 26 batalion yang mana tiga batalion sebagai Batalion Para, dua batalion sebagai Batalion Mekanis, satu Batalion Istiadat dan selebihnya adalah Batalion Infantri Standard.
Cogan kata bagi rejimen ini adalah ‘Taat Setia’.
Rejimen Renjer Diraja (RRD)
Pasukan ini terkenal dengan cogan kata ‘Agi Hidup Agi Ngelaban’ yang membawa maksud ‘Selagi Hidup Selagi Melawan’.
RRD merupakan rejimen yang kedua terbesar di dalam TDM selepas RAMD. Perbezaannya dengan RAMD adalah keanggotaan RRD terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Rejimen Sempadan (RS)
Penubuhan Rejimen Sempadan dalam kelompok tempur telah diluluskan secara rasmi pada 12 Januari 2008.
Pasukan ini berperanan dalam mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang bentuk kegiatan pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah.
Kor Armor Diraja (KAD)
Kor Armor Diraja adalah salah satu kor tempur di dalam TDM. Tugas kor ini ialah menjalankan operasi secara ‘serangan’ dan ‘pertahanan’ dengan sentiasa menyediakan bantuan perisai kepada Tentera Darat, selaras dengan cogan kata mereka iaitu ‘Bersatu’.
KAD atau lebih dikenali sebagai Armor dilengkapkan dengan pengangkut anggota berperisai, kenderaan tempur infantri, kenderaan tempur berperisai dan juga kereta kebal.
KELOMPOK BANTUAN TEMPUR
Kelompok kedua ini terdiri daripada anggota sistem tentera yang membantu Kelompok Tempur secara langsung di dalam peperangan. Antaranya ialah:
Rejimen Semboyan Diraja (RSD)
Tugas utama RSD ialah menyedia dan menyelenggarakan komunikasi untuk perintah dan kawalan serta menyediakan bantuan Peperangan Elektronik kepada Tentera Darat.
RSD juga bertanggungjawab menguruskan semua aspek perlaksanaan peperangan elektronik dan sistem amaran awal untuk TDM.
Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)
RAJD berperanan dalam tugas-tugas seperti memusnah bom, membersih kawasan periuk api, menjaga dan membaiki sistem penjanaan, penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik (Pakar Elektrik), membina jalan, jambatan, landasan kapal terbang dan kereta api serta menyediakan bekalan air.
Dengan cogan kata ‘Berusaha Berfaedah’, RAJD yang pakar dalam kejuruteraan tentera telah menyumbangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara termasuk menyediakan tenaga mahir kepada sektor awam apabila anggotanya bersara.
Rejimen Artileri Diraja (RAD)
Peranan RAD adalah untuk memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan tempur di medan peperangan agar pihak musuh tidak dapat mengganggu operasi pasukan ataupun tidak dapat mengatur rancangan operasi mereka dengan efektif.
Kor Polis Tentera Diraja (KPTD)
KPTD adalah sebuah badan yang menjaga dan memelihara undang-undang ATM.
Pasukan ini ditugaskan khas untuk menyelenggarakan tatatertib Tentera Darat dan memainkan peranan penting meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, bertanggunjawab terhadap undang-undang, peraturan-peraturan dan perintah tentera, selaras dengan cogan katanya iaitu ‘Sedia Berkhidmat’.
Kor Risik Diraja (KRD)
KRD berperanan dalam merancang dan melaksanakan usaha-usaha pengumpulan, pemprosesan, penilaian dan penyebaran perisikan untuk kepentingan TDM dan juga keseluruhan ATM amnya.
KELOMPOK BANTUAN PERKHIDMATAN
Peranan kelompok ini adalah untuk membantu Kelompok Tempur dan Bantuan Tempur dalam aspek perkhidmatan logistik, senggaraan dan perkhidmatan lain yang berunsur pentadbiran. Antaranya ialah seperti berikut:
Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD)
KJLJD berperanan dalam memberi bantuan teknik seperti pembaikan, penyelenggaraan dan pemeriksaan ke atas semua peralatan milik Tentera Darat kecuali kenderaan jentera berat milik RAJD dan peralatan perhubungan RSD. Cogan kata bagi pasukan ini ialah ‘Bertukang Dan Berjuang’.
Kor Perkhidmatan Am (KPA)
KPA bertanggungjawab dalam urusan khidmat dari segi Urusan Gaji, Pekeranian, Pelajaran dan Perhubungan Raya kepada ATM.
Cogan kata bagi KPA ialah ‘Berbakti’.
Kor Perkhidmatan Diraja (KPD)
KPD ditugaskan sebagai pasukan logistik Tentera Darat seperti Workshop dan kompeni angkut, kecuali senjata dan bekalan asas.
Cogan kata bagi Kor Perkhidmatan Diraja ini ialah ‘Berkhidmat Kepada Semua’.
Kor Ordnans Diraja (KOD)
Sebagai salah satu pasukan logistik dalam Tentera Darat, tugas KOD ialah membekal senjata dan keperluan asas Tentera Darat, selaras dengan cogan kata mereka iaitu ‘Berkhidmat Membantu’.
Kor Kesihatan Diraja (KKD)
KKD adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pergigian yang berkualiti kepada seluruh warga ATM.
Cogan kata bagi Kor Kesihatan Diraja ini adalah ‘Khidmat Diutamakan.
Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)
KAGAT adalah sebuah kor di dalam TDM yang menguruskan dan mengendalikan hal ehwal keagamaan bagi ketiga-tiga cabang di dalam ATM.
Cogan kata pasukan ini ialah ‘Berjuang Berakhlak’.
PASUKAN UDARA TENTERA DARAT (PUTD)
Selaras dengan cogan katanya iaitu ‘Gagah Di Angkasa’, Pasukan Udara Tentera Darat adalah salah satu pasukan di dalam TDM yang berperanan dalam memberikan bantuan udara di medan tempur kepada unit-unit Tentera Darat.
REJIMEN ASKAR WATANIAH
Rejimen Askar Wataniah adalah Rejimen yang dianggotai oleh para sukarelawan. Mereka ini adalah barisan kedua dalam mempertahankan negara.
Kemahiran anggota ini adalah setanding dengan anggota tetap, malah memiliki kepakaran tertentu seperti telekomunikasi, perbekalan air, pengendalian pelabuhan dan pengendalian kereta api.
GRUP GERAK KHAS (GGK)
Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti pasukan elit utama dalam Malaysia, ia terdiri daripada dua buah rejimen komando dan sebuah rejimen melawan keganasan dalam TDM.
Pasukan elit ini dilatih untuk pelbagai tugas khas dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui pengintipan khas. Cogan kata bagi GGK ialah ‘Cepat Dan Cergas’.
BACA: Patutlah laris semacam kedai sate ini, pemilik kedai dedah 60 tahun tak basuh periuk sos sate