Rupanya dah 15 tahun minyak masak subsidi dijual di Thailand

Oleh INFORAKYAT

Rupanya dah 15 tahun minyak masak subsidi dijual di Thailand. Kegiatan menyeludup minyak masak subsidi Malaysia ke Thailand sudah lama berlaku, dipercayai sejak kerajaan memperkenalkan subsidi itu 15 tahun lalu.

Peruncit di negara ini mendakwa, mereka mendapat bekalan dan menjual minyak paket satu kilogram (kg) dari Malaysia sejak berbelas tahun lalu, malah tidak pernah berhadapan masalah kekurangan bekalan.

Mereka mendakwa boleh mendapatkan bekalan minyak masak subsidi itu daripada pemborong dari Malaysia atau orang tengah pada bila-bila masa.

Pemborong terbabit dikatakan cenderung untuk menyeludup minyak masak ke Thailand berikutan mampu mengaut keuntungan hampir 100 peratus daripada harga kilang, berbanding menjualnya kepada peruncit dalam negara.

Sumber memberitahu BH, pemborong hanya mengambil syarat menjual ke kedai runcit bagi mengelak perbuatan mereka dikesan.

Rupanya dah 15 tahun minyak masak subsidi dijual di Thailand

“Pemborong boleh mengaut keuntungan antara RM34 dan RM39 sekotak (RM4.40 hingga RM4.70 satu paket) apabila menjual minyak masak ini kepada orang tengah untuk diseludup ke Thailand, berbanding hanya 85 sen sekotak (0.05 sen sepaket) bila menjualnya kepada peruncit.

“Ini menyebabkan mereka memilih untuk menyeludup barangan ini ke Thailand daripada menjualnya di dalam negara,” katanya.

Setiap pemborong dikatakan mengambil minyak daripada kilang pada harga RM41.31 sekotak, yang mengandungi 17 paket (harga RM2.43 satu paket).

Mereka menjual kepada peruncit pada harga RM42.16 (RM2.48 satu paket) dan hanya mendapat untung kira-kira 85 sen sekotak atau 0.05 sen bagi setiap paket, manakala peruncit mendapat untung 0.02 sen sepaket berdasarkan harga jualan ditetapkan kerajaan iaitu RM2.50 satu paket.

Pemborong boleh mengaut keuntungan antara lebih 80 peratus hingga lebih 90 peratus apabila menjual minyak masak kepada orang tengah dalam negara pada harga RM75 hingga RM80 sekotak (RM4.40 hingga RM4.70), sebelum dijual kepada peniaga di Thailand pada harga RM90 hingga RM107 sekotak (RM5.30 hingga RM6.30 satu paket).

Malah, harga dikatakan lebih mahal jika bekalan minyak masak itu berkurangan dan sukar dibawa ke Thailand disebabkan kawalan ketat.

Di Kelantan, terdapat 16 pembekal minyak masak dan hampir 250 pemborong yang berlesen dengan jumlah minyak subsidi setiap bulan sebanyak 3,234 tan metrik.

Sumber berkata, permintaan terhadap bekalan minyak masak bersubsidi itu terlalu tinggi dan semestinya orang tengah akan berusaha mendapatkan bekalan itu daripada pemborong, berbanding pihak pengilang yang dilihat lebih sukar.

“Jika pemborong sudah mencecah hampir 250 orang, pastinya orang tengah lebih ramai dan mereka akan menawarkan harga yang lebih mahal kepada pemborong itu supaya bekalan minyak itu diberikan kepada mereka.

“Bila berlaku penawaran harga yang keuntungannya hampir berganda, sudah tentu segelintir daripada mereka memilih untuk menjual kepada orang tengah berbanding menjualnya secara runcit.

“Pada masa sama, disebabkan kerajaan tidak mengehadkan kuantiti minyak kepada pemborong, mereka boleh mendapatkan bekalan itu sebanyak mungkin daripada pihak pengilang yang membungkus minyak, termasuk di negeri lain,” katanya.

Sementara itu, seorang penyeludup di sini mendakwa, beliau mengambil bekalan minyak daripada orang tengah atau pemborong di Malaysia.

Katanya, permintaan tinggi di sini menyebabkan dia sentiasa mencari bekalan terbabit dengan pihak pemborong dan orang tengah.

“Harga yang diterima tidak menentu, ada kalanya saya dapat harga RM80 sekotak, namun ada ketikanya lebih murah atau lebih mahal bergantung kepada orang tengah terbabit.

Katanya, bekalan minyak itu kebanyakannya disimpan di tebing sungai di sebelah Malaysia terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke Thailand menggunakan perahu.

BACA:

Gaji menteri Malaysia boleh beli 3,300 botol minyak masak 5 kg!

Senarai stesen minyak yang jual kad Touch ‘n Go versi baharu

Akibat jual petrol terlalu murah, stesen minyak kena saman