Terletak di atas bukit di tengah-tengah kota Rom, Villa Aurora yang dibina pada abad ke-16 kini tersenarai sebagai rumah termahal di dunia.
Vila yang terletak di bandar elit Via Veneto ini dibina di atas tanah seluas lebih 27,000 meter persegi, berdekatan dengan hotel-hotel terbaik di Rom serta Piazza di Spagna yang ikonik.
Menurut Oddity Central, Villa Aurora kekal sebagai hartanah termahal selepas dilelong dengan harga 471 juta euro (RM2.2 bilion)
pada Januari lalu. Namun, walaupun harga ini sangat tinggi, tidak ada pembeli yang berminat, termasuklah jutawan.
Pemiliknya, Puteri Rita Boncompagni Ludovisi, menyatakan bahawa beliau menghadapi masalah dalam pembahagian harta, dan mahkamah Itali telah memutuskan agar vila tersebut dijual melalui lelongan.
Namun, harga yang ditetapkan untuk hartanah ini terlalu tinggi sehingga tiada sesiapa yang sanggup membelinya.
“Anda perlu menjadi jutawan yang sangat kaya dan sanggup membelanjakan tambahan puluhan ribu pound untuk membaiki masalah kebocoran di beberapa kawasan kediaman ini,” kata Puteri Rita.
Puteri Rita telah meminta kerajaan Itali untuk membeli dan memelihara vila tersebut, dan lebih 40,000 individu telah menandatangani petisyen menyokong hasrat ini.
Walaupun dijual pada harga diskaun, Villa Aurora dilaporkan mungkin mengganggu bajet Kementerian Kebudayaan Itali, menyebabkan hartanah ini masih kekal di pasaran hingga kini.