RM35.4 juta bina dewan Muhyiddin boleh tampung kos ujian saringan 500,000 rakyat

RM35.4 juta bina dewan Muhyiddin boleh tampung kos ujian saringan 500,000 rakyat

Penjelasan Pejabat Perdana Menteri berkenaan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh yang bernilai RM35.4 juta untuk tiga buah dawan terus dipertikaikan.

Ketua Pemuda Pejuang Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, walaupun peruntukan RM35.4 juta untuk tiga buah dewan ianya masih di bawah peruntukan yang besar.

“Jika pembinaan setiap dewan itu dibahagikan secara sama rata kepada tiga sekitar RM10 juta lebih sebuah, ia tetap dianggap tinggi berbanding beberapa dewan lain yang disemak telah siap dengan anggaran kos hanya sekitar RM3.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, ketika pihak kerajaan merungut keadaan semasa covid-19, kekurangan peralatan dan tempat serta berbagai lagi masalah sehingga membawa kepada Proklamasi Darurat 2021, kelulusan dan pembinaan segera seperti ini rasanya bukan menjadi satu keperluan mendesak.

“Bukankah dengan kos RM 35 435 992.00 ini dapat digunakan untuk membuat ujian swab covid-19 percuma kepada para pelajar yang bakal masuk ke kampus (Menteri Kanan Keselamatan umum tidak wajib buat ujian swab) dengan harga RM70 setiap ujian seperti yang diusahakan oleh ADUN Subang Jaya?” soal beliau.

Justeru, katanya, dengan jumlah pembinaan dewan yang diluluskan PM-8 itu dapat dilakukan ujian swab kepada seramai 506 228 orang atau lebih setengah juta rakyat Malaysia.

“Dengan Proklamasi Darurat yang dimahukan sangat PM-8, apa sebenarnya yang ingin dicapai? Kelulusan kewangan tanpa SOP biasa untuk kepentingan tertentu atau benar-benar kewangan negara bagi menyelamatkan rakyat?,” tegas beliau. –MD