Setiap kali memasuki tempat baru, seseorang harus peka dengan budaya dan pantang larang yang ada.
Jika tidak diendahkan, kemungkinan besar akan ada akibat yang perlu dihadapi.
Begitulah pengalaman seorang remaja bernama Alif (bukan nama sebenar) yang diterjah gangguan misteri
semasa mengikuti kem jati diri yang dianjurkan oleh sekolahnya di kawasan pedalaman Perak.
Menurut Alif, sebelum kejadian itu berlaku, dia tidak merasakan apa-apa yang luar biasa mengenai kem tersebut, kecuali satu perkara yang dia dengar semasa sesi taklimat.
“Aku datang bersama rombongan dua bas, kami semua pelajar tingkatan 4. Program ini berlangsung selama tiga hari dua malam. Kata penganjur, ia merupakan aktiviti terakhir kami di luar sekolah sebelum memasuki tingkatan 5. Selamat tinggal zaman honeymoon.
“Keadaan di kem itu tenang kerana terletak di pinggiran bukit, dikelilingi banyak desa, dengan pemandangan yang sejuk mata memandang. Kami sampai hampir tengah hari, setelah bertolak dari Kuala Lumpur pagi tadi.
“Selepas makan tengah hari, abang dan kakak fasilitator meminta kami berkumpul untuk sedikit penerangan. Aku mendengar dengan acuh tak acuh sebab sudah banyak kali mengikuti kem seperti ini, semuanya lebih kurang sama. Tapi ada satu perkara yang menarik perhatian aku. Seorang fasilitator berpesan, ‘Tolong baca ayat Kursi dan pastikan tidur dalam keadaan mengiring malam nanti.’ Ini kali pertama aku dengar arahan seperti ini,” cerita Alif.
Selepas taklimat selesai, Alif dan rakan-rakannya menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum memulakan aktiviti lasak. Walaupun terasa sedikit janggal, mereka tidak terlalu mengambil pusing pesanan itu.
“Sebelum sampai ke kem lagi, aku dah terfikir badan ni pasti akan penat teruk, jadi aku kena bersedia secara fizikal dan mental. Sangkaan aku betul, dari pukul 3 petang hingga hampir Maghrib, bermacam-macam aktiviti kami lakukan—team building, permainan survival, permainan tradisional—semuanya dilakukan serentak. Bila waktu Maghrib tiba, aku sudah keletihan. Kami masuk ke bilik masing-masing, setiap bilik ada empat katil dua tingkat.
“Aku dapat katil bawah dekat pintu masuk. Selepas kemas barang, mandi dan solat Maghrib, aku baring sebentar atas katil. Tak fikir pun nak makan malam, terus terlelap.
Namun, satu pengajaran berharga yang aku perolehi—jangan sesekali melanggar pantang-larang di tempat orang,” tambah Alif.
Tidak lama selepas itu, Alif terjaga apabila kawannya menepuk bahunya, mengejutkannya. “Weh Lep, kau tidur telentang! Ayat Kursi pun tak baca lagi, abang fasi pesan tadi,” kata rakannya.
Namun kerana terlalu letih, Alif menepis tangan kawannya dan kembali tidur.
“Aku buka mata sedikit, nampak bilik dah gelap, semua orang dah dalam keadaan mengiring, bersedia untuk tidur. Pedulikanlah, aku terus pejamkan mata, tak mampu nak bergerak. Tak lama selepas itu, tiba-tiba dada aku rasa berat, seperti ada benda yang menindih.
“Awalnya aku boleh tahan, tapi lama kelamaan, nafas aku semakin sesak, tak dapat tarik oksigen, tubuh aku terasa kaku, macam beku, langsung tak boleh bergerak.
“Lidah aku kelu, tak mampu nak panggil pertolongan, tak dapat membaca apa-apa. Mata aku terbuka luas, namun gelap gelita di depan mata. Rasanya seperti ajal sedang menghampiri,” cerita Alif dengan cemas.
Ketika dirinya seolah-olah berada di penghujung hayat, Alif mengumpul sisa-sisa tenaga untuk berjuang menyelamatkan nyawanya.
“Fikiran aku terimbau wajah ibu bapa, adik-beradik, dan kucing kesayangan bernama Gurey. Semua memori hidup aku muncul satu per satu. Adakah inilah rasanya apabila nyawa mahu berpisah dari tubuh? Tapi aku masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal. Aku tahu amalan aku belum cukup. Dengan segenap kudrat, aku paksa diri untuk bangun.
“Allahuakbar!” aku jerit sekuat hati. Akhirnya, aku dapat mengawal tubuh aku semula. Dada aku berombak, peluh membasahi tubuh. Aku terus buka lampu dan kejutkan semua rakan-rakan.
“Sejak kejadian itu, aku belajar satu pengajaran yang tak akan aku lupakan—jangan sesekali melanggar pantang-larang di tempat yang kita kunjungi,” ujar Alif mengakhiri ceritanya.
BACA: Madammu dedah tak terima nafkah dari suami sejak lapan tahun lalu, ini sebabnya