Rayuan akhir Najib: Peguam gesa Hakim Nazlan disiasat kerana berat sebelah

Rayuan akhir Najib Peguam gesa Hakim Nazlan disiasat kerana berat sebelah

Rayuan akhir Najib: Peguam gesa Hakim Nazlan disiasat kerana berat sebelah. Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mula mendengar permohonan Najib Razak untuk memasukkan keterangan baharu dalam rayuan rasuah SRC International beliau.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Bekas perdana menteri itu cuba mendapatkan perbicaraan semula kes yang menyaksikan beliau disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman dua tahun lalu.

Najib diwakili peguam utama Hisyam Teh Poh Teik. Pasukannya juga termasuk peguam Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Ruben Mathiavarnam.

Peguam, Zaid Ibrahim (kanan) dan Liew Teck Huat tiba di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan akhir Najib: Peguam gesa Hakim Nazlan disiasat kerana berat sebelah
Peguam V Sithambaram, yang diberikan lesen khas oleh peguam negara, mengetuai pasukan pendakwaan dan beliau dibantu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei serta Mohd Ashrof Adrin Kamil.

Peguam Najib akan berhujah hakim Nazlan Ghazali bertanggungjawab mendedahkan semua fakta dan keadaan yang boleh menjejaskan kesaksamaan atau kebebasan hakim kepada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum perbicaraan dimulakan.

Mereka akan berkata, Nazlan yang juga peguam dan setiausaha syarikat Maybank Group antara tahun 2006 dan April 2015, gagal mendedahkan pembabitannya menjelang penubuhan SRC, pinjaman RM140 juta yang diberikan untuk manfaat SRC dan kemudahan kredit RM4.17 bilion yang diberikan kepada syarikat induk, 1MDB.

Mereka akan berhujah perkara yang tidak didedahkan itu melucutkan haknya untuk mencabar bidang kuasa hakim bagi mendengar kes itu.

Pasukan pendakwaan tiba dengan berkotak-kotak dokumen.

Ini bermakna, Nazlan mengetuai panel ketika berada di bawah “konflik kepentingan serius” yang mendatangkan “risiko berat sebelah” dan menjejaskan hak Najib untuk mendapat perbicaraan adil, peguamnya akan berhujah.

Najib mendakwa beliau hanya dimaklumkan mengenai konflik kepentingan Nazlan pada 9 Mei dan 7 Julai tahun ini, selepas menerima beberapa dokumen yang dihantar individu tidak mendedahkan namanya.

Ini termasuk minit tiga mesyuarat yang diadakan pada 7 Mac 2012 yang disertai Nazlan – mesyuarat jawatankuasa pengurusan kumpulan, mesyuarat semakan jawatankuasa kredit dan mesyuarat lembaga khas – juga urutan e-mel dan dokumen lain pada Februari 2015 yang hanya diketahui Najib, yang dikatakan mereka, menjadikannya saksi berpotensi kes itu.

Peguam Ahli Parlimen Pekan itu juga akan memberitahu mahkamah tertinggi, walaupun ia relevan dengan pertuduhan, dokumen itu tidak didedahkan pihak pendakwaan kepada pembelaan seperti dikehendaki undang-undang.

Pasukan peguam Najib akan juga meminta keterangan lisan tambahan diambil daripada lima saksi – bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan empat pegawai SPRM yang menyiasat Nazlan awal tahun ini – serta menggesa agensi anti-rasuah itu mengemukakan rekod siasatan untuk menentukan sama ada Nazlan wajar membicarakan kes ini.

Peguam Najib juga akan berhujah, beliau tidak boleh dianggap telah mengetepikan haknya untuk membantah Nazlan mendengar kes itu kerana tidak tahu kepentingan hakim sebelum dan semasa perbicaraan.

Najib disabitkan bersalah oleh Nazlan pada 28 Julai 2020 atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan RM42 juta dana SRC International selepas perbicaraan selama 76 hari. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Sabitan dan hukumannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, tetapi digantung sementara menunggu rayuan daripada keputusan itu di Mahkamah Persekutuan selesai.

Usul sekarang difailkan Jun tahun ini oleh bekas peguam cara Najib, Shafee & Co. Pada 16 Julai lalu, mereka memfailkan permohonan untuk meminda usul itu bagi memasukkan maklumat tambahan yang diterima kemudian.

Pada 25 Julai lalu, Najib melantik firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguam caranya, menggantikan Shafee & Co. Hisyam Teh dilantik sebagai peguam utama menggantikan Shafee Abdullah.

Nazlan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada April 2015, hakim Mahkamah Tinggi pada Januari 2017 dan hakim Mahkamah Rayuan bermula tahun ini.

BACA:

Baby Shima gelek macam pelakon lucah, penonton jadi malu terus tertunduk

Tok Mat umum letak jawatan pula..

CATEGORIES