Hanya beberapa hari lagi sebelum kita menyambut hari Lebaran bersama keluarga tersayang.
Pastinya ramai yang tak sabar mahu pulang ke kampung dan mengenakan busana pakaian raya yang baru dibeli.
Walaupun ramai yang mula merasai kehangatan beraya di kampung halaman masing-masing, terdapat insan yang kurang bernasib baik terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana mengalami pelbagai masalah.
Menerusi satu hantaran di TikTok @cikguding, orang ramai membuat luahan perasaan dan mendedahkan sebab mengapa mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman pada Hari Raya kali ini.
“Tak beli baju raya tak apa lagi. Rupanya ramai yang tidak balik beraya tahun ini. Yang tak balik sila hadir. Boleh tahu kenapa, mana tahu kita-kita boleh bantu,” tulisnya.
Dalam ruangan komen, pelbagai respons diberikan oleh netizen. Antara sebab utama yang dikongsi mengapa sesetengah individu tidak boleh pulang ke kampung adalah kerana masalah kewangan.
“Tiada duit untuk minyak kereta…nak naik bas anak kecil pula tidak boleh duduk lama-lama. Nanti meragam, melaung… rindunya dekat mak kita dekat kampung,” kongsi seorang pengguna.
“Tak ada duit…lagipun duit yang ada pun untuk kegunaan lepas raya…,” luah seorang lagi.
“Duit cukup buat bayar rumah sewa. Maintenance dah banyak bulan tertunggak. Bil air dan api. Baju raya pakai mana yang ada je,” tulis seorang pengguna lain.
Selain itu, ada wanita yang berkongsi bahawa dia bersama keluarganya tidak dapat pulang beraya di kampung kerana kenderaan mereka baru sahaja ditarik dan kini hanya memiliki sebuah kereta kompak Perodua Kelisa.
Ada juga yang perlu berjimat cermat untuk pembelanjaan sekolah dan seumpamanya, sementara ada individu yang bersedih kerana ahli keluarga atau ibu bapa sudah meninggal dunia.
Jadi, bersyukurlah jika anda masih diberikan rezeki dari segi kewangan dan juga memiliki keluarga tersayang yang masih hidup hingga hari ini.