Rasuah untuk ‘potong Q’ dapatkan suntikan vaksin

Rasuah untuk ‘potong Q’ dapatkan suntikan vaksin

Keperluan mendesak untuk menangani pandemik COVID-19 serta kekurangan bekalan vaksin telah meningkatkan cabaran dalam pengedaran vaksin secara pantas dan adil.

Pegawai Undang-undang Senat Brazil, Guilherme France berkata, terdapat risiko berlakunya rasuah melibatkan proses pengagihan vaksin.

Menurut beliau, Brazil telah menunjukkan realiti sebenar masalah ini apabila rasuah berlaku dengan cepat melibatkan pengagihan vaksin, sekali gus kerta siasatan terhadap Datuk-datuk Bandar serta pegawai awam dibuka.

“Contohnya, terdapat aduan di Manaus, pusat penyebaran COVID-19 di negara itu, di mana anggota keluarga dalam kalangan ahli perniagaan tempatan telah dilantik sebagai petugas di klinik kesihatan supaya mereka layak untuk divaksinasi lebih awal.

“Ini antara beberapa kes melibatkan Datuk-datuk Bandar dan pegawai awam yang didakwa membantu ahli keluarga atau individu yang rapat dengan mereka untuk ‘potong barisan’ mendapatkan vaksin dengan segera.

“Turut dilaporkan adalah cubaan untuk memberi rasuah kepada jururawat bagi mendapatkan akses vaksin lebih awal,” katanya dalam artikel yang dimuat naik di sebuah portal anti-rasuah global.
Tambah beliau, terdapat juga tindakan ‘potong barisan’ pada skala yang lebih besar melibatkan pelbagai kumpulan seperti pegawai pendakwa raya dan undang-undang dengan menggunakan pengaruh politik mereka untuk segera menerima vaksin.

“Dalam situasi berbeza, kerajaan turut bersetuju menggunakan ‘status utama’ untuk pengedaran vaksin sebagai sebahagian kaedah tawar menawar.
“Tatkala rundingan melibatkan mereka yang mogok masih berlaku, kerajaan bersetuju untuk meletakkan pemandu lori dan pekerja logistik sebagai penerima vaksin lebih awal daripada populasi umum dalam senarai penerima,” ujarnya.

Beliau mengakui, Brazil yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 telah menyebabkan akses kepada vaksin merupakan perkara hidup dan mati sekali gus usaha untuk memotong barisan sama ada untuk diri sendiri atau orang yang mereka kasihi makin meruncing.

Justeru, katanya, pengawalan dan ketelusan pengagihan vaksin perlu menjadi keutamaan kerajaan di semua peringkat.

“Sebagai permulaan, keputusan berkenaan kumpulan yang patut diberi keutamaan dalam kempen vaksinasi wajar ditentukan oleh doktor dan pakar perubatan, berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Peraturan sama perlu diguna pakai kepada semua orang.

“Untuk pastikan pelaksanaan dan permohonan vaksin dilakukan mengikut syarat, saluran pemberi maklumat perlu diperluas untuk membantu penyaluran maklumat sekaligus menangani sebarang penyelewengan,” jelasnya.

Malah, kerajaan juga, kata beliau, sepatutnya melakukan pengiraan semasa melibatkan mereka yang telah divaksinasi termasuk pecahan melibatkan kumpulan yang diberi keutamaan.

Menurutnya, beberapa pihak berkuasa tempatan di Brazil telah memulakan usaha itu, namun kerajaan Persekutuan masih gagal untuk menggabungkan data di peringkat tempatan.

“Maklumat ini sekiranya dikumpul dan disusun dengan baik, ia akan membantu masyarakat menilai keberkesanan terhadap usaha vaksinasi secara keseluruhan.

“Bukan sahaja di Brazil, tetapi di mana-mana sahaja, mereka yang miskin atau dalam kelompok terpinggir akan paling teruk terkesan disebabkan oleh salah guna kuasa dan rasuah melibatkan proses keutamaan dan pengagihan vaksin,” katanya.

Beliau berpandangan, apa yang berlaku di Brazil itu wajar dijadikan sebagai amaran supaya prosedur khusus diwujudkan bagi mengelakkan berlakunya rasuah melibatkan pengagihan vaksin COVID-19.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/vaksin-covid19-rasuah-jadi-punca-potong-barisan-di-brazil-283991