Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, secara rasmi dilantik sebagai Ketua Armada BERSATU bagi tempoh 2024-2027.
Pengumuman yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU ini
sekali gus menamatkan beberapa spekulasi mengenai keputusan pemilihan tersebut.
Muhammad Hilman berjaya mengetepikan saingannya, Akmal Zahin Zainal Zahir dari Seputeh, dengan perbezaan sebanyak 170 undi.
Pengerusi JPP, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, memaklumkan bahawa Muhammad Hilman memperoleh 1,888 undi, manakala Akmal Zahin memperoleh 1,718 undi.
“Naib Ketua Armada adalah Muhammad Faiz Rahmad dengan 1,790 undi, diikuti Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Ad Adib Shaharuddin (490),” katanya.
“Untuk jawatan Pengerusi Tetap Armada pula, Muhamad Amerul Muhamad mendapat 1,799 undi, manakala Muhammad Aiman Afiq Abdul Majid (1,789). Naib Pengerusi Tetap Armada dipegang oleh Mohd Firdaus Mohd Zaini dengan 1,867 undi,” tambahnya dalam sidang media, di sini hari ini.
Abdul Azim turut memaklumkan bahawa 111 Armada Bahagian bersidang, dan berdasarkan kertas undi yang diterima dalam pemilihan Armada pusat, jumlah kehadiran mencapai 42 peratus daripada keseluruhan 9,076 perwakilan yang layak hadir.
“JPP juga menerima sebanyak 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan, dan prosedur pengiraan undi,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Hilman, ketika ditemui, berkata misinya adalah memperkukuh Armada dan membantu kemenangan BERSATU dalam pilihan raya akan datang. Mengenai kerjasama dengan Akmal Zahin, beliau menyatakan mereka akan bekerja bersama sebagai satu keluarga besar.
“Peranan utama kami adalah untuk menang dalam pilihan raya, dan setiap ahli dalam BERSATU merupakan aset yang akan membantu memperkuatkan parti bagi mencapai kemenangan,” katanya.
BACA: Bekas Naib Ketua Pemuda parti politik dituduh liwat, amang seksual