Ramai tak tahu cara dapatkan pampasan diberhentikan kerja tanpa rela

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Baru-baru ini, syarikat platform media sosial TikTok telah memberhentikan ratusan pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk hampir 500 kakitangan di Malaysia.

Kejadian ini mengejutkan ramai orang dan menimbulkan persoalan mengenai pampasan yang akan diterima oleh pekerja yang diberhentikan.

Adalah penting untuk mengetahui jumlah pampasan pemberhentian yang mungkin anda terima jika kehilangan pekerjaan secara tidak sukarela.

Pengetahuan ini dapat membantu anda merancang kewangan dengan lebih baik semasa mencari pekerjaan baru.

Pengiraan pampasan pemberhentian berbeza berdasarkan beberapa faktor, termasuk tempoh perkhidmatan dan status pekerja. Berikut adalah panduan umum:

Ramai tak tahu cara dapatkan pampasan diberhentikan kerja tanpa rela

Jumlah hari gaji yang dikira sebagai pampasan bergantung pada tempoh perkhidmatan:

Kurang daripada 2 tahun: 10 hari gaji untuk setiap tahun perkhidmatan.

2 hingga 5 tahun: 15 hari gaji untuk setiap tahun perkhidmatan.

Lebih daripada 5 tahun: 20 hari gaji untuk setiap tahun perkhidmatan.

Gaji bulanan: Gaji bulanan juga boleh mempengaruhi jumlah pampasan.

Tarikh berkhidmat: Tarikh mula dan akhir perkhidmatan diperlukan untuk mengira jumlah tahun atau bulan perkhidmatan dengan tepat.

Ini akan digunakan untuk menghitung jumlah pampasan yang sepatutnya diterima. Sebagai contoh, bagi pekerja yang telah bekerja selama 6 tahun sebagai pengurus IT, dengan bilangan hari bekerja dalam sebulan sebanyak 27 hari, pengiraannya adalah seperti berikut:

Tempoh berkhidmat: 6 tahun

Jumlah Hari Gaji: 20 hari gaji untuk setiap tahun (kerana lebih daripada 5 tahun)
Pampasan: 6 tahun x 20 hari gaji = 120 hari gaji

Jika gaji bulanan adalah RM5,000, maka pampasan adalah:

RM5000 bahagi 27 hari darab 120 hari = RM22,222.22

Menggunakan kalkulator pengiraan pampasan
Jika anda menghadapi masalah mengira pembayaran pampasan, anda boleh menggunakan kalkulator pengiraan pampasan daripada Kementerian Sumber Manusia Malaysia (MOHR) untuk mendapatkan anggaran pampasan. Berikut adalah cara menggunakan kalkulator tersebut:

Tarikh mula perkhidmatan: Masukkan tarikh mula bekerja untuk syarikat.

Tarikh akhir perkhidmatan: Masukkan tarikh perkhidmatan anda dengan syarikat tamat.

Jumlah gaji yang diterima dalam 12 bulan yang lalu: Masukkan jumlah gaji yang diterima sepanjang tahun lalu, termasuk gaji asas, elaun, bayaran lebih masa, komisen, dan bayaran lain.

Namun, bayaran yang dikecualikan di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955 tidak dikira.

Kira: Selepas mengisi maklumat di atas, klik butang “Kira” untuk mengira bayaran pampasan.

Hasilnya akan menunjukkan:

Tempoh perkhidmatan: Menunjukkan jumlah tempoh perkhidmatan pekerja dengan syarikat, biasanya dalam tahun.

Kelayakan untuk pampasan pemberhentian: Menunjukkan bilangan hari pampasan pemberhentian yang layak diterima oleh pekerja untuk setiap tahun perkhidmatan.

Bayaran pampasan: Menunjukkan jumlah pembayaran pampasan yang dikira berdasarkan maklumat yang diberikan.

Namun, pengiraan ini hanyalah anggaran dan tidak boleh digunakan sebagai sumber utama atau dokumen sokongan untuk sebarang tuntutan. Sentiasa semak semula polisi syarikat anda atau berunding dengan jabatan HR atau penasihat undang-undang untuk mendapatkan pengiraan pampasan yang tepat.

Bayaran pemberhentian: Pampasan asas yang diberikan kepada pekerja berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka. Bayaran pemberhentian adalah terkecuali daripada KWSP dan SOCSO serta EIS.

Bayaran sagu hati: Bayaran tambahan yang mungkin diberikan sebagai tanda penghargaan dan untuk menutup kesulitan yang dialami. Bayaran sagu hati bagi penamatan kontrak juga dikecualikan daripada KWSP dan PERKESO serta EIS.

Bayaran sebagai notis: Bayaran ganti jika majikan tidak memberikan notis pemberhentian yang mencukupi. Bayaran sebagai ganti notis juga dikecualikan daripada KWSP dan SOCSO serta EIS.

Bayaran cuti: Pampasan untuk cuti tahunan yang belum digunakan. Namun, cuti sakit tidak termasuk dalam cuti tahunan. Bayaran baki cuti adalah tertakluk kepada semua caruman statutori.

Faedah kesihatan: Faedah kesihatan yang mungkin diteruskan untuk tempoh tertentu selepas pemberhentian, termasuk pelan insurans perubatan, pergigian, dan penglihatan.

BACA: Hukum sebenar baca al-quran tanpa menutup aurat, ini jawapan ulama ramai nak tahu