Ramai MP Umno tak setuju dengan cadangan Ahmad Maslan – Sumber

Ramai MP Umno tak setuju dengan cadangan Ahmad Maslan – Sumber

Sebahagian besar ahli parlimen Umno menolak cadangan yang diutarakan setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan, agar mereka menyokong gesaan supaya Yang di-Pertuan Agong mengarahkan sidang khas parlimen diadakan.

Menurut sumber yang juga pemimpin atasan Umno, tidak ramai ahli parlimen yang memberikan sokongan agar sidang khas itu dilangsungkan.

“Mereka tidak menyokong kerana khuatir langkah itu akan memberi imej tidak baik pada Umno,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan tindakan mengutus surat kepada Agong bukanlah penderhakaan seperti didakwa beberapa pihak termasuk bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa.

Bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz juga dilaporkan berkata Umno tidak boleh dianggap menderhaka apabila memohon perkenan Agong mengarahkan sidang khas parlimen diadakan.

Malah kata Nazri surat yang diutus Ahmad itu bukan bersifat peribadi sebaliknya dikeluarkan hasil keputusan di peringkat parti.

Sumber itu berkata, Annuar tersilap untuk beranggapan demikian kerana langkah yang diambil Umno adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada.

“Saya sokong (tindakan) presiden (Umno).Tak salah utus surat pada Agong. Utus surat pada Agong bukan penderhakaan seperti tuduhan Annuar.

“Masa dia (Annuar) muda, dia yang bantai institusi raja. Kita (Umno) jaga kedaulatan raja-raja,” katanya merujuk kepada tindakan ahli parlimen Ketereh itu yang pernah mengusahakan penabalan sultan baru Kelantan beberapa dekad lalu.

Sementara itu seorang lagi sumber yang juga pemimpin atasan Umno turut mengesahkan bahawa majoriti menolak surat berkenaan.

Sementara itu, Tajuddin memberitahu Malaysiakini, ada beberapa sebab mengapa ahli parlimen Umno tidak menyokong surat dikeluarkan parti itu.

“Ramai yang tak setuju… ada sesetengah mereka tak faham, ada setengahnya pula atas kepentingan politik,” katanya. –MK