Ramai harap dapat sambut Hari Raya Aidilfitri tetapi….. Sewaktu sedang sibuk menguruskan hal kerja di pejabat tiba-tiba telefon bimbit Mat Taici berbunyi tanpa henti minta dijawab.
Awalnya mahu abaikan sahaja panggilan tetapi apabila terpapar di skrin nama ‘Ibu’ (panggilan untuk makcik di kampung) terus Mat Taici jawab, risau pula ada kecemasan.
Dan memang betul, ada hal ‘kecemasan’ yang mahu ditanyakan kepada Mat Taici. “Raya nanti hang balik kampung tak?” Adui Ibu, ingatkan apalah yang ‘urgent’ sangat.
Dalam kelam kabut, Mat Taici hanya mampu bagi jawapan selamat; “Insya-ALLAH ibu, ada cuti saya balik ya” untuk sedapkan hati dia.
Hakikatnya, Mat Taici pun tidak pasti dengan kes Covid-19 yang makin melonjak setiap hari, dapat ke tidak balik beraya di kampung halaman tahun ini?
Memang kalau diikutkan, Mat Taici pun sudah berkobar-kobar semangat untuk pulang kampung menyambut Aidilfitri tetapi hati kecil gusar memikirkan adakah impian murni itu akan tercapai atau terus terhalang lagi?
Baru-baru ini kawan Mat Taici di pejabat pun ada bercerita, 20 kenalannya dijangkiti Covid-19 selepas pulang menghadiri kenduri kahwin di utara tanah air.
Terkedu Mat Taici mendengarnya, dalam sekelip mata seramai itu boleh dijangkiti. Mujurlah keadaan mereka tidak serius dan tidak perlu dirawat di hospital.
Apa pun pasal balik beraya di kampung tahun ini, Mat Taici cuba positif dan berpegang kepada jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan balik raya akan dilaksanakan. (Tipu dosa ya!)
Kata beliau, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.
Ironinya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula berkata, negara sedang berdepan gelombang penuh Omicron yang amat mudah berjangkit dan tidak mustahil boleh mencecah 15,000 kes sehari tidak lama lagi.
Memang tidak mustahil angka boleh naik setinggi itu, buktinya pada 7 Februari kes harian Covid-19 melonjak kepada 11,034 berbanding 10,089 pada hari sebelumnya, sekali gus mencatatkan kes harian tertinggi dilaporkan sejak PKP dilonggarkan bermula Oktober tahun lalu.
Kalau rasa fakta itu tidak cukup menyeramkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes harian berisiko melonjak lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada kadar 1.2.
Tetapi jangan panik dulu kawan-kawan, kerana dengan suntikan vaksin dan dos penggalak dapat mengurangkan keseriusan kes.
Jadi ramai-ramailah pakat ambil suntikan vaksinasi dan dos penggalak untuk tingkatkan imuniti dan kurangkan risiko jangkitan.
Jangan hanya sibuk mengeluh tengok kes asyik naik tapi tidak ambil tindakan pencegahan dan untuk golongan anti-vaksin mungkin sudah sampai masa untuk insaf dan cepat-cepat dapatkan suntikan vaksin ya.
Mat Taici yakin ramai dah pasang angan-angan mahu merayakan Syawal di kampung bersama keluarga, cukuplah pengalaman hambar beraya di ibu kota selama dua tahun.
Namun kalau keadaan mengizinkan kita pulang beraya di kampung kelak, jangan asyik sangat beraya sampai lupa diri dan lupa segala SOP sampai mengundang Covid-19.
Nanti elok-elok melaram pakai baju raya tidak pasal-pasal terpaksa sarung baju pesakit di hospital pula. Ishh minta dijauhkan!
Pss – Mat Taici rancang bakar lemang tahun ini
BACA JUGA :
Ini cara dapatkan baucar shopee RM400
Kes Covid-19 dijangka cecah 60,000 tak lama lagi – Pakar kesihatan
Ini 6 tanda anda dijangkiti Omicron tanpa anda sedari