Rakyat Malaysia kini tidak lagi perlu memuat naik status keputusan ujian Covid-19 ke dalam aplikasi MySejahtera, bermula Selasa ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa mulai kini, laporan keputusan ujian Covid-19 akan dilakukan oleh pengamal perubatan
Melalui sistem eNotifikasi yang digunakan oleh KKM serta semua fasiliti kesihatan untuk memantau dan melaporkan kes penyakit berjangkit di negara ini.
Menurut KKM, ujian pengesahan untuk Covid-19 hanya akan dilakukan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag)
profesional yang dikendalikan oleh petugas kesihatan, atau melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).
Ramai rakyat Malaysia mengakui bahawa mereka telah lama menyahaktifkan aplikasi MySejahtera daripada peranti masing-masing.
Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat, dengan kebanyakan mereka meluahkan rasa lega kerana tidak perlu lagi memuat naik status Covid-19 dalam aplikasi tersebut.
Seorang pengguna, Syamimisyazli, berkongsi bahawa dia dan keluarganya telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan aplikasi itu sejak dua tahun yang lalu. Keputusan tersebut diambil setelah kes-kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan penurunan.
“Rasanya memang ramai dah uninstall aplikasi ini, tak nampak apa kegunaannya lagi. Buat berat simpanan data telefon sahaja,” ujarnya.
Sammera pula menyatakan bahawa dia tidak melihat lagi penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai keperluan penting.
“Pelik masih ada lagi ke orang guna MySejahtera? Saya dah lama padam, tak nampak keperluan nak simpan pun,” tulisnya.
Namun, ada juga sesetengah individu yang berpendapat aplikasi MySejahtera masih berguna, kerana selain untuk Covid-19, aplikasi tersebut boleh digunakan untuk menyimpan maklumat kesihatan lain.
Azuan HFZ menyatakan bahawa aplikasi MySejahtera masih diperlukan untuk membuat janji temu di klinik kesihatan di bawah KKM.
“Nak pergi klinik kesihatan kena guna MySejahtera untuk buat janji temu, jangan buang. Lagipun, rekod derma darah, jenis darah, dan sijil vaksin semua ada dalam aplikasi itu.
Semalam saya baru kena buat pemeriksaan, kena buat appointment pakai MySejahtera,” katanya.
Incik Aremier pula berkata, “Bagus juga aplikasi ini ada sebab rekod derma darah semua ada dalam itu, walaupun buku derma darah hilang.”
BACA: Hubungan tegang Pas Bersatu, punca 2 Adun Bersatu dipecat dari jawatan Exco