Rakyat rasa kerajaan PN dah tak boleh harap

Rakyat rasa kerajaan PN dah tak boleh harap

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin berpendapat kutipan yang banyak diterima oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) bagi membantu mahasiswa yang tersadai bukti orang ramai sudah tidak mempercayai kerajaan.

Menurutnya, sumbangan sebanyak RM51,145.92 hasil pendanan orang ramai hanya dalam tempoh tiga jam untuk membantu mahasiswa terbabit menggambarkan kemurahan hati rakyat di negara ini.

“Ini tak sampai pun sebulan gaji Menteri Kesihatan yang sudah lama tidak kelihatan. Kemurahan hati orang ramai ini turut memberi isyarat mereka tidak percaya lagi kepada pemerintah,” tempelaknya di Facebook.

Terdahulu, rata-rata pelajar secara terbuka mengecam Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad ekoran nasihat supaya menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi pelajar universiti pada saat-saat akhir.

Mengulas lanjut, Kadir mengucapkan tahniah kepada MUDA atas kepekaan dan inisiatif mengadakan kutipan tersebut.

“Anda adalah pewaris dan penyelamat negara. Jadilah warganegara Malaysia dan anak watan yang berprinsip, beridealisme dan berjasa.

“Generasi pra- dan pasca-Merdeka telah membebaskan dan membina negara. Tetapi generasi merdeka – anak dewi dan dewa serta Melayu baru yang lupa dunia – telah merosakkannya.

Bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada mantan Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, rakyat yang patut diberikan ilmu dan pengetahuan telah dibohongi dan diperkotak-katikkan supaya boleh dibelenggu dan diperalatkan.

“Maka tidak ada siapa lagi yang boleh diharapkan bagi menyelamatkan negara melainkan pemuda pemudi yang yang cekal dan berani. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara,” tegas Kadir lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pelajar-ipta-tersadai-bantuan-mencurah-isyarat-rakyat-tidak-percaya-pemerintah/

COMMENTS