Rakyat perlu bertanggungjawab atas sebarang perlakuan di media sosial

download - 2019-09-21T211117.564.jpg
Orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap sebarang perlakuan mereka di media sosial dan berhenti memuat naik hantaran tidak perlu yang berbaur sensitif, kata bekas presiden Service Civil International (SCI) Malaysia Stephen Nah.

SCI merupakan sebuah pergerakan keamanan antarabangsa yang mempromosikan kefahaman antarabangsa, pertukaran antara budaya dan antikeganasan.

Beliau berkata orang ramai sebaliknya perlu memuat naik atau meninggalkan komen yang bersifat lebih positif yang boleh menyatu-padukan rakyat Malaysia jika mereka ingin maju sebagai sebuah negara bangsa bersama-sama.

Nah yang juga pengerusi penganjur Hari Keamanan Antarabangsa 2019 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia yang berlangsung hari ini berkata kerajaan juga perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pihak yang sengaja mencetuskan ketegangan kaum agar mereka lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.

“Kita perlu menggunakan media sosial ke arah yang lebih positif seperti menghormati antara satu sama lain. Kita harus menggalakkan orang ramai supaya lebih bercakap perkara yang lebih positif,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hari Keamanan Antarabangsa disambut di seluruh dunia pada 21 Sept setiap tahun sejak diterima sebulat suara oleh PBB pada 1981 dengan objektif sambutan untuk mengekalkan keamanan merangkumi pelbagai perbezaan dan menyumbang kepada pembinaan budaya perdamaian.

Nah berkata sambutan Hari Keamanan Antarabangsa 2019 di Malaysia diadakan di Pure Life Socitey yang bertemakan ‘Tindakan Iklim Untuk Keamanan’ dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, PBB Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan disokong oleh lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

BERNAMA