Rakyat mula merungut, harga barangan mula naik mencanak-canak

Rakyat mula merungut, harga barangan mula naik mencanak-canak

Tiada siapa yang menafikan secara keseluruhan bekalan barangan keperluan di dalam negara mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Meskipun dalam cuaca yang tidak menentu di beberapa negeri, bekalan makanan mentah tidak ada yang kurang.

Walaupun bawang besar dikatakan mengalami gangguan bekalan akibat bekalan terhad dari India, itu pun bukan masalah.

Rata-rata kedai masih menjual bawang dari China, Belanda dan Dubai.

Bagaimanapun, dilema pengguna hari ini – terutama golongan B40 dan M40 pertengahan adalah harga barang-barang keperluan harian yang mencanak sejak beberapa bulan ini.

Semuanya naik – itulah kesimpulan yang boleh dibuat hasil tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kedai runcit, pasar, pasar raya dan pasar raya besar.

Bukan sahaja ikan ‘mewah’, tetapi ikan yang sering dibeli oleh pengguna biasa seperti ikan kembung, cencaru, selar, ikan sardin dan ikan pun berbelas-belas ringgit sekilo.

Ini tidak termasuk harga ikan ‘mewah’ seperti ikan merah, jenahak, kurau, kerapu atau udang, sotong dan ketam yang sekadar mampu dilihat sahaja.

Sayur-sayuran tertentu juga bukan murah. Daun bawang pun seikat pun dijual RM4.

Cili merah pun sudah mencecah RM24 sekilogram, cili padi RM23 sekilogram.

Setakat beberapa bulan ini hanya harga ayam yang agak stabil kerana ada pasar raya yang menjual dalam RM6.10 hingga RM6.50 sekilogram.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini mengesahkan menerima 70,689 aduan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dengan 5,142 daripadanya adalah berkaitan kenaikan harga barang.

Susulan aduan kenaikan harga barang, kementeriannya telah memeriksa 214,760 premis perniagaan di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

Apabila kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan, suasana di pasar, pasar raya atau pasar raya besar cukup meriah, lantaran itu tiada lagi alasan harga barang dinaikkan disebabkan pengurangan permintaan.

Tidak logik juga alasan peniaga naikkan harga untuk menanggung kerugian disebabkan pembeli merosot.

Oleh itu, mengapa harga barang keperluan harian penggunaan melonjak dengan ketara?

Kenaikan harga barang ini jika tidak dipantau dengan teliti oleh KPDNHEP dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan isi rumah yang berpendapatan kecil dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jika dahulu, kalau ‘duit cukup-cukup sahaja’ bolehlah cari ikan sardin tin, atau ikan bilis.

Tapi sekarang, harga setin sardin pun lebih RM7 setin, ikan bilis paling murah pun RM24 sekilo.

Senang cerita, RM100 yang dibawa suri rumah ke pasar, tidak lagi mampu memenuhi bakul, apatah lagi troli.

Jika semasa awal pandemik, Perdana Menteri berkata, bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan terjejas bagi memastikan ada makanan terhidang di atas meja setiap keluarga.

Tetapi, untuk masa sekarang, kerajaan diminta memastikan walaupun bantuan dihulurkan, rakyat masih mampu berbelanja, sekurang-kurangnya sekadar mengisi perut sahaja.

Oleh itu, KPDNHEP kini bukan sahaja perlu memantau bekalan barangan pengguna mencukupi atau sebaliknya, pastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan ketika poket rakyat di negara ini masih lagi terkesan dengan pandemik koronavirus.

Sebagai salah satu kementerian di bawah kerajaan, KPDNHEP mesti meletakkan kepentingan pengguna mengatasi keuntungan peniaga yang mengambil kesempatan di sebalik kesukaran rakyat.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/12/20/harga-barang-melonjak-salah-peniaga-atau-siapa/

COMMENTS