Rakyat Malaysia buat hal di Jepun sampai masuk berita, hanya kerana ‘double park’

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Budaya double park bukanlah perkara asing di Malaysia. Di mana-mana kawasan yang padat, kereta sering kali diparkir bertindih.

Walau bagaimanapun, kita seharusnya tidak membawa budaya tersebut ke negara orang kerana setiap negara mempunyai cara masyarakat mereka sendiri.

Baru-baru ini, satu ciapan di laman aplikasi X menjadi tular apabila sikap rakyat Malaysia yang selamba double park telah menarik perhatian berita utama di Jepun.

Seorang pengguna X yang dikenali sebagai @pja_chan berkongsi gambar rakyat Malaysia yang parkir bertindih sehingga menimbulkan kemarahan penduduk tempatan di Jepun.

“Rakyat Malaysia disebut dalam berita di Jepun kerana meletakkan kereta di tempat letak kereta seperti ini, yang menyebabkan kemarahan rakyat Jepun.

Rakyat Malaysia buat hal di Jepun sampai masuk berita, hanya kerana 'double park'

“Ini tempat letak kereta berbayar yang mempunyai ruang untuk setiap kereta, dan tidak sepatutnya diparkir bertindih begini. Mengapa berbuat demikian hingga menyusahkan orang?” katanya.

Kejadian dikatakan berlaku berhampiran Matsumoto Castle, Aichi Prefecture dan kereta tersebut disewa oleh sekumpulan wanita Malaysia.

Difahamkan, kereta yang berada di hadapannya ingin keluar, tetapi terhalang oleh kereta sewa milik rakyat Malaysia tersebut.

Manakala, pemilik kereta di belakang pula mendakwa bahawa rakyat Malaysia tersebut telah meminta dia mengalihkan kereta ke belakang untuk memudahkan keluarnya.

Menurut @pja_chan, parkir di Jepun boleh menjadi isu utama kerana negara tersebut tidak membenarkan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.

“Terdapat tempat letak kereta yang ditetapkan berbayar. Tidak ada konsep double park. Oleh kerana ini, ramai orang Jepun marah kepada rakyat Malaysia di internet.

“Akibatnya, kesan buruk ini boleh menjejaskan penduduk Malaysia yang tinggal di sana, terutamanya kerana sudah wujud tanggapan negatif. Mungkin selepas ini, orang Jepun juga mungkin tidak suka kepada pelancong Malaysia.

“Parkir di sana sudah mahal, dan dengan perkara ini, masa tambahan 3 jam lagi. Kosnya bertambah dan menyusahkan orang. Perlu memanggil bantuan untuk menolak kereta lagi. Memang menyusahkan orang, tidak hairanlah orang menjadi marah,” tambahnya.

BACA: Aku pernah jumpa ‘baju kecik’ adik dalam lori suami, menggigil bila dapat tahu hal sebenar..”