Rakyat bukan takut berbelanja tapi berhati-hati, AWAN tegur Azmin

Rakyat bukan takut berbelanja tapi berhati-hati, AWAN tegur Azmin

Saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali agar rakyat terus berbelanja dilihat tersasar.

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) negeri Johor, Nor Hayati Bachok mengingatkan Azmin bahawa rakyat bukannya ‘takut berbelanja’, tetapi mereka lebih memikirkan soal kesinambungan hidup.

“Rakyat bukan takut, tetapi kini berhati-hati berbelanja. Mungkin menteri tidak sedar masalah sebenar rakyat yang kini tersepit selepas Covid-19 melanda negara.

“Pendapatan semakin tipis dan ada di antara mereka terputus pendapatan hidup akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Adakah menteri tidak sedar hakikat ini atau sengaja mendidik rakyat untuk berbelanja demi menyelamatkan portfolionya yang semakin corot akibat ekonomi yang tidak dapat berkembang?” kata Nor Hayati.

Azmin sebelum ini meminta rakyat agar jangan terus terperangkap dalam rasa takut terhadap wabak Covid-19.

Katanya, sekarang adalah masa untuk rakyat keluar berbelanja bagi membantu ekonomi negara untuk pulih, manakala sikap tidak mahu berbelanja tidak akan membantu dalam pemulihan ekonomi negara.

Justeru itu Nor Hayati yang juga Adun Maharani berkata, seharusnya kerajaan mendidik dan memberikan ilmu kepada rakyat berkenaan kepentingan budaya menyimpan dan menabung.

Selain itu katanya, kerajaan perlu mendidik rakyat untuk membuat pelaburan ke dalam institusi yang disahkan melalui tabungan mereka bagi menambah simpanan.

“Kerajaan sepatutnya fikit untuk membantu rakyat, (misalnya) dari segi perniagaan kecil-kecilan atau pelaburan yang dijamin bagi menjana simpanan mereka.

“Pendidikan berjimat cermat serta pengurusan kewangan seharusnya dibuat oleh kerajaan melalui kempen-kempen mencarum dan sebagainya.

“Ianya perlu dimulakan dengan kesedaran di peringkat awal lagi.

“Menteri perlu mengukur tahap kemampuan rakyat hari ini.

“Bukan hanya mementingkan prestasi kerjanya sahaja dan tidak mendatangkan faedah kepada rakyat,” katanya lagi.

Johorkini

Berita penuh :

https://www.johorkini.my/saranan-azmin-supaya-rakyat-terus-berbelanja-tak-tengok-keadaan-awan-johor/

COMMENTS