Rafizi akhirnya bersuara sebab Anwar jadi Menteri Kewangan. Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menyifatkan perlantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan adalah sesuai ketika ini.
Kali pertama mengulas tindakan Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan, Rafizi berkata, perlantikan itu dibuat mengambil kira kedudukan luar biasa, yang mana tiada parti atau gabungan yang berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, dalam keadaan sekarang yang mana ekonomi berada dalam situasi mencabar turut berkehendakkan Perdana Menteri turut menjawat jawatan Menteri Kewangan.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, secara ideal baginya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan patut dipisahkan dan beliau kekal dengan pendirian itu.
“Oleh kerana keadaan (semasa) luar biasa, keputusan itu (Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan) sesuai buat masa sekarang.
“Senang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan supaya ia tidak timbul isu gabungan yang berbeza,” katanya pada sidang media pertama beliau sebaik masuk pejabat hari ini.