Pupuk semangat patriotisme, tolak unsur hasutan, fitnah dan rasuah – Gobind

ab17507d584e9ed13ac64cbb16c4893e5d7f8d3ae79a3.png
Rakyat Malaysia perlu memupuk semangat patriotisme dan menolak segala unsur hasutan, fitnah serta rasuah yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata selaras dengan tema sambutan Hari Malaysia 2019, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memupuk semangat cinta kepada negara dan seterusnya menyemai semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita harus mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama dipupuk sejak kemerdekaan.

“Kita harus menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu dan usaha-usaha mereka dalam membina satu negara yang berjaya dari segi ekonomi dan sosial,” katanya menerusi satu klip video yang ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, malam ini.

Beliau berkata prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada raja dan negara, sikap toleransi antara satu sama lain dan semangat patriotisme yang jitu, mengajak semua rakyat untuk hidup bersatu padu.

“Dengan pentadbiran kerajaan yang baharu dan usaha padu rakyat Malaysia akan dapat terus memberi kemakmuran kepada negara ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Gobind juga berharap semangat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang penuh bersejarah itu dapat menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum.

“Marilah bersama-sama kita membentuk masa depan sebagai negara yang progresif dan memberi kesejahteraan yang mampan kepada rakyat,” katanya.

Pertama kali diadakan di Sarawak sejak kerajaan Pakatan Harapan menerajui kerajaan Persekutuan pada Mei 2018, sambutan itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat.

BERNAMA