Puluhan Salah Laku NAFAS Dalam Pentadbiran Lalu Disiasat SPRM

PULUHAN kes penyelewengan dan salah laku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang berlaku semasa pentadbiran lalu kini disiasat agensi antirasuah, kata Salahuddin Ayub.

Menteri pertanian berkata, kegiatan Nafas itu juga disiasat polis dan juga oleh pendaftar pertubuhan tersebut selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Apabila saya masuk ke pejabat, saya menulis surat kepada SPRM supaya Seksyen 3 Akta SPRM dikuatkuasakan dan saya meminta Nafas diletakkan sebagai badan awam yang boleh disiasat dan dipantau SPRM.

“Sebanyak 37 kertas siasatan telah diangkat untuk tindakan pihak SPRM, lima kertas diangkat ke PDRM dan selebihnya dalam tindakan dan bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan Peladang,” katanya.

Dalam jawapannya di Parlimen hari ini, Salahuddin berkata ia hasil tindakan 15 orang petugas bawah Pendaftar Pertubuhan Peladang yang mengeluarkan 51 kertas siasatan.

Ia ekoran penemuan pelbagai salah laku serius dalam pertubuhan itu dalam audit khas yang dijalankan sebelum perlembagaan Nafas digantung pada Jun 2018, kata Salahuddin.

“Terdapat 42 penemuan audit khas Nafas yang menjurus kepada salah laku ahli jemaah pengarah dan pengurusan, pecah amanah atau salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya.

Katanya audit khas itu dijalankan selama lebih dua bulan sejak akhir Mac dan penggantungan perlembagaan Nafas dibuat mengikut Seksyen 201(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Salahuddin kini menerima tekanan kerana mengutus surat kepada perdana menteri agar Nafas diberikan kontrak rundingan terus untuk membekal baja kepada penanam padi.

Ahli Parlimen pembangkang Dr Wee Ka Siong mendakwa tindakan menteri itu bertentangan dengan dasar kerajaan PH untuk melaksana tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.

Wee mendakwa proses tender itu sudahpun ditutup dan kontrak berkenaan sudahpun diberikan apabila Salahuddin menulis surat kepada Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran itu, kontrak yang diberikan kepada syarikat tersebut sudahpun dibatalkan, dakwa Wee.

Salahuddin menangkis tuduhan itu dan menjelaskan beliau mengikut semua prosedur dan peraturan ketika memohon kepada perdana menteri agar kontrak RM1.4 bilion itu diberi kepada Nafas.

“Sehingga hari ini proses tender terbuka belum dimuktamadkan. Tiada satu syarikat telah menerima kontrak. Apa yang saya lakukan adalah mengikut prosedur dan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam jawapannya, Salahuddin juga berkata Nafas sudahpun menyusun semula organisasi dan waran perjawatan utamanya sebagai langkah penambahbaikan.

Nafas juga menyemak skim perkhidmatan dan peraturan kerja serta kaedah tatatertib dan rayuan kes terlibat.

Selain itu Nafas mengkaji semula garis panduan operasi pengurusan ladang milik Nafas, pengurusan aset dan pelupusan aset tetap dan inventori. – 26 November, 2019.

Sumber : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/200497?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR34zZmeKQyrL4jh-j_bBJG3PaiL7VbnVYScoL6-6MCaa40sUSKgQPVMxpY

CATEGORIES