Pulau Pinang bangunkan makmal diagnostik Covid-19 di PIA

Pulau Pinang bangunkan makmal diagnostik Covid-19 di PIA

Bagi meningkatkan keupayaan melakukan ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk utama negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sebuah makmal diagnostik COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar ketika ditemui berkata, matlamat membangunkan makmal ujian sampel saringan dan pengesanan COVID-19 di PIA adalah bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sekaligus membantu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) meningkatkan kapasiti ujian saringan harian.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan satu pintu masuk antarabangsa dibuka iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“(Dan) apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, pintu-pintu masuk antarabangsa yang lain (di negeri-negeri) turut dibenarkan dibuka seperti di Pulau Pinang dan Kuching (Sarawak) dengan syarat (penumpang yang tiba) perlu menjalani ujian saringan.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mengambil tindakan segera dan proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama-sama pihak pengurusan lapangan terbang, imigresen serta JKNPP untuk melihat bagaimana proses saringan ini dapat dipercepatkan.

“Hal ini bermakna, individu di bawah pengawasan (PUS) dapat segera dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing tanpa perlu ke pusat kuarantin seperti sebelum ini,” ujarnya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Buletin Mutiara dekat pejabatnya di Komtar 26 Jun lalu

Menurut Abdul Razak, buat masa ini kapasiti pengambilan sampel di PIA adalah sebanyak 150 ujian saringan sehari berbanding sebelum ini hanya 70 ujian saringan sehari sebagaimana dilaporkan sebuah portal dalam talian berbahasa Inggeris pada 13 Jun lepas.

“Dari segi tempoh masa menunggu juga dapat disingkatkan bukan seperti sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga jam yang mana sampel diambil perlu dihantar ke hospital atau klinik berkaitan untuk didiagnos (sampel) secara klinikal dan keputusan mengambil masa selama sejam.

“Dari segi kapasiti anggota kesihatan, sememangnya sentiasa mencukupi cuma perlu ada sebuah makmal sementara di lapangan terbang bagi menjalankan diagnosis seperti cadangan pengubahsuaian dikemukakan JKNPP kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya yang turut memuji komitmen pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat di Pulau Pinang.

Berita penuh : https://www.buletinmutiara.com/kekal-zon-hijau-kerajaan-negeri-komited-wujudkan-makmal-diagnostik-di-pia/

COMMENTS