Puad pula ‘smash’ Annuar Musa, jangan mendahului presiden parti

Puad pula ‘smash’ Annuar Musa, jangan mendahului presiden parti

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno hari ini menempelak Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa dengan mengingatkannya supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan terbaru Annuar, seolah-olah menjadikan Umno, parti yang ditubuhkan sejak 1946, organisasi politik yang defensif serta “bad boy” susulan beberapa desakan yang dibuat oleh pemimpin parti berkenaan.

“Ada perkara yang perlu diulas. Ini bukan soal pergeseran sesama sendiri. Jangan apologatik. Annuar menjadikan Umno terlalu defensif, Umno macam “bad boy”. Kenapa perlu jadi jurucakap parti lain.

“Menurut Annuar, tanpa PPBM, PAS tidak akan bersama Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan anjuran Umno Online baru-baru ini, Annuar mendakwa segelintir ahli dalam parti itu lupa bahawa Umno adalah parti yang kalah dan sudah jatuh.

Annuar berkata, Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.

Baginya, Umno perlu melupakan luka lama dan kembali bangkit dalam usaha mengukuhkan muafakat Melayu-Islam jika mahu menang dalam pilihan raya umum ke-15.

Kenyataan Annuar itu mendapat kritikan beberapa pemimpin Umno lain, antaranya Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan parti Melayu berkenaan.

Ia bagaimanapun dijawab oleh Annuar dengan berkata, beliau sedia dipecat dari Umno atau dilucutkan jawatan menteri.

Baginya, apa lebih penting adalah perjuangan parti yang berterusan.

Mengulas kenyataan Annuar bahawa Umno adalah parti yang kalah dan jatuh dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, Puad berkata, walaupun kalah, parti itu masih memenangi kerusi terbanyak, walaupun gagal mencari rakan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“PPBM menang 13 kerusi sahaja, tetapi bersama DAP, PKR, Warisan dan Amanah berjaya menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Umno iktiraf kerajaan PH dan tidak ada darurat. Tetapi kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan.

“Lahirlah kerajaan PN. Kerajaan ini adalah kerajaan baru. Ia mendapat dokongan bersama, tidak timbul siapa kalah, siapa menang walaupun kerusi Umno masih terbanyak.

“Itu yang presiden Umno sebut di Dewan Rakyat, tidak timbul siapa berbudi, siapa yang terhutang budi,” katanya.

Tambahnya, jika Annuar masih mahu berbahas tentang siapa menang dan siapa kalah, senario selepas PRU14 juga sudah berubah.

Menurutnya, Umno berjaya memenangi 7 pilihan raya kecil, bahkan sudah menewaskan PPBM sebanyak 2 kali ketika PH masih berkuasa, iaitu di Semenyih dan Tanjung Piai.

“Umno mengalahkan semua parti gabungan PH kecuali Amanah. Umno mengalahkan DAP di Cameron Highlands, PKR di Rantau dan Warisan di Kimanis.

“Bahkan, PPBM sekarang ini didokong 15 ahli Parlimen lompat daripada Umno,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/22/jangan-dahului-presiden-jangan-jadi-ketua-penerangan-parti-lain-puad-beritahu-annuar/

COMMENTS