Malaysia kini mempunyai kereta elektrik (EV) pertama buatan tempatan dengan pelancaran Proton e.Mas 7 semalam.
Dengan kerjasama bersama Geely, kereta EV Proton ini ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu Prime dan Premium.
Secara ringkas, e.Mas 7 Prime dilengkapi dengan bateri berkapasiti 49.52kWh, roda aloi 18 inci, paparan skrin sentuh 15.4 inci, serta sistem pemanduan ADAS Level 2.
Sementara itu, e.Mas 7 Premium hadir dengan bateri berkapasiti 60.22kWh, roda aloi 19 inci,
sistem audio Flyme dengan 16 pembesar suara, paparan skrin cermin hadapan, dan pengudaraan untuk tempat duduk hadapan.
Kereta EV pertama Malaysia ini juga telah diiktiraf dengan penarafan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.
Selain itu, e.Mas 7 akan menjadi kereta rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang akan diadakan di Malaysia tahun hadapan, lapor MalaysiaGazette.
Proton e.Mas 7 dipilih kerana kerajaan ingin menjadikannya sebagai contoh dalam pembuatan dan pembangunan kereta EV di rantau Asia, seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Untuk ASEAN tahun depan, e.Mas 7 adalah kenderaan rasmi kita. Kita ingin menetapkan contoh di rantau ini untuk mempromosikan keupayaan kita dalam pengeluaran kereta dan pembangunan EV,” kata beliau semasa Majlis Perasmian Kereta Elektrik Nasional Pertama e.Mas 7 semalam.
Harga untuk e.Mas 7 Prime adalah RM109,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM112,800 (Malaysia Timur), manakala e.Mas 7 Premium berharga RM123,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM126,800 (Malaysia Timur).
Bagi 3,000 pembeli pertama, mereka akan menerima rebat RM4,000, menjadikan harga bagi model e.Mas 7 Prime sebanyak RM105,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM108,800 (Malaysia Timur). Manakala e.Mas 7 Premium akan berharga RM119,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM122,800 (Malaysia Timur).
BACA:lelaki maut selapas ajak lakukan aksi “ringan- ringan” ketika cuti bersama