Projek RM30 juta KKM penuh tanda tanya, Pemuda Amanah gesa siasatan menyeluruh

Projek RM30 juta KKM penuh tanda tanya, Pemuda Amanah gesa siasatan menyeluruh

Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional

6 Mac 2020

Pendedahan dokumen-dokumen berkaitan projek melaksanakan Lab Mitigation Solution For Covid-19 bernilai RM30 juta bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam telah menimbulkan persoalan paling besar, bagaimana sebuah syarikat yang skop perniagaannya dalam bidang pembangunan hartanah boleh menerima projek yang pastinya memerlukan kepakaran khusus dalam bidang kesihatan?

Sudahlah demikian, kelebihan bayaran pendahuluan sebanyak 50% kepada pentender rundingan terus ini telah menimbulkan tanda tanya awam, sejauh mana perkaitan antara pemilik syarikat dengan pihak yang meluluskan projek tersebut? Jika kedudukan kewangan syarikat yang dianugerahkan projek ini menjadi halangan, tidakkah itu menjadi sebab paling besar untuk ianya dibuat secara tender terbuka, atau setidak-tidaknya tender jemputan kepada syarikat-syarikat yang berkemampuan dan layak?

Tanpa sebarang cagaran yang dikenakan kerajaan ditambah kelayakan syarikat tersebut yang jelas dipertikaikan, berapa besar pula kerugian yang harus ditanggung kerajaan jika projek ini tidak siap atau tidak mencapai standard sebagaimana yang digariskan? Paling utama, berapa besar pula risiko yang harus ditanggung oleh kakitangan barisan hadapan yang bersabung nyawa menggunakan makmal yang tidak memenuhi spesifikasinya nanti?

Ini baru satu projek yang terdedah kepada pemakluman awam. Bagaimana pula dengan projek-projek lain bawah kerajaan sejak Perikatan Nasional mengambil-alih kerajaan? Justeru kita menyeru agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan adil dan menyeluruh serta melakukan pendakwaan segera terhadap semua pihak yang terlibat. Situasi kecemasan tidak harus dijadikan alasan untuk kita berkompromi terhadap lunas integriti dan melawan rasuah.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

COMMENTS