Program kerajaan sendiri langgar SOP, Khairy luah rasa kesal

Program kerajaan sendiri langgar SOP, Khairy luah rasa kesal.Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap kerajaan boleh terhakis sekiranya mereka sendiri melanggar peraturan seperti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau turut kesal dengan pelanggaran SOP oleh penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dan disebabkan itu penganjur dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

“Isu ini adalah isu penting kerana dalam urusan pandemik ini, apa yang perlu ada dalam kerajaan adalah kredibiliti.

“Apabila rakyat melihat kerajaan sendiri yang melanggar peraturan yang kerajaan sendiri buat, maka kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap kerajaan itu terhakis.,” katanya dalam Bicara Naratif Khas, “Menilai Ketegasan KKM” di TV1.

Pada 10 Dis lalu, penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Khairy berkata, pihaknya kecewa dengan penganjur yang gagal memastikan SOP dipatuhi.

Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri, berlangsung dari 9-12 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam pada itu, Khairy turut mengakui berlaku kesilapan dalam majlis itu dan kerajaan akan memperbaiki kesilapan itu pada masa akan datang.

Beliau berkata kompaun juga dikeluarkan kepada penganjur, walaupun penganjur adalah agensi dalam kerajaan kerana berpegang pada prinsip ‘yang salah tetap salah’.

“Sebab itu saya keluarkan kompaun dan saya maklum pada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob. Saya kata dekat (Perdana Menteri), saya tak ada pilihan. Walaupun nampak pelik kita keluar kompaun kepada agensi kerajaan, tetapi salah tetap salah,” katanya.

Khairy juga menjelaskan bahawa kompaun maksimum RM1,000 dikeluarkan berikutan Akta 342 untuk kompaun belum dipinda selepas Ordinan Darurat diungkai.

“Saya tunggu nak pinda Akta 342 pada Khamis ini, supaya kita letakkan balik denda kompaun yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut membidas Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri yang gagal mengendali majlis kerajaan itu.

“SEPADU saya lihat sangat lemah dan gagal dalam melaksanakan tugas mereka untuk kempen aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

BACA: Panas !!! Klinik terkenal di Melaka ubah keputusan Covid-19 pesakit dari positif jadi negatif

CATEGORIES