PRN Sabah : Jentera Pas akan bantu Perikatan Nasional

PRN Sabah : Jentera Pas akan bantu Perikatan Nasional

Meskipun tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, PAS tetap akan melancarkan jenteranya esok bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) berkempen.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dia juga akan ke Sabah esok untuk melancarkan jentera parti itu.

“Saya akan pergi ke Sabah pada hari esok untuk melancarkan jentera PAS bagi membantu rakan-rakan PN bagi memastikan kerusi yang ditandingi dimenangi.

“Petang esok saya akan ke Kota Kinabalu (lancar jentera PAS) ini komiten PAS walaupun PAS tak bertanding, PAS tetap lancar jentera nak pastikan bahawa kita menang,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata purata 2,000 tenaga parti akan digerakkan bagi membantu PN.

“Kita ada 20 jentera bahagian di Sabah dan purata dalam 2,000 jentera tenaga parti.

“Jadi kita juga akan membawa tambahan jentera dari semenanjung untuk turun di Sabah,”katanya lagi.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air mengadakan sidang media bagi menubuhkan pasukan petugas khas cegah jenayah bagi membendung masalah pencemaran jenayah membabitkan persekitaran.

Terdahulu isu ketiadaan calon PAS dalam PRN Sabah hangat diperkatakan apatah lagi selepas dilaporkan menyasarkan untuk bertanding di 10 kerusi di negeri itu.

Malah, Tuan Ibrahim semalam juga meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak, termasuk dalam parti dan sekutunya, yang menganggap agenda perjuangan parti itu tidak sesuai di Sabah dan Sarawak.

Diminta mengulas mengenai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertembung sesama calon sekutu dalam gabungan parti pada pilihan raya kali ini, ahli parlimen Kubang Kerian berkata pihaknya menyerahkan isu itu kepada kebijaksanaan strategi PN.

“Saya yakin mereka boleh selesaikan (soal pertembungan calon DUN). Insya-Allah.

“Justeru kita juga akan mendapatkan maklumat dari bilik gerakan parti dalam keputusan perundingan berkaitan calon-calon yang bertembung sesama sendiri dalam kerusi DUN PRN Sabah,” katanya.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/542560

COMMENTS