PRN Sabah BN PN berebut calon KM, PRU15 berebut calon PM pula

PRN Sabah BN PN berebut calon KM, PRU15 berebut calon PM pula

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan oleh TS Muhyiddin Yasin berkecai hanya beberapa jam setelah pengumuman mengenainya dibuat. Pertembungan sesama parti sekutu di 17 dari 73 kerusi DUN menampakkan masalah kepimpinan yang sangat ketara di blok pembangkang yang terdiri dari Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

Mangsa paling parah ketika hari penamaan calon di PRN Sabah ialah PAS. Bukan sahaja parti itu tidak diberikan walau satu kerusi, malah wakil parti itu tidak langsung dijemput semasa majlis pengumuman calon. Walaupun pemimpin tertinggi parti itu ada mengeluarkan beberapa kenyataan sebagai ‘damage control’, tetapi kekecewaan dan kemarahan ahli dan penyokong tidak dapat disembunyikan oleh kenyataan ‘separuh masak’ oleh pimpinan tertinggi PAS. Pemimpin-pemimpin pertengahan parti itu seperti Iskandar Samad, Fadhli Shaari, Redhuan Mohd Nor, dan beberapa yang lain melampiaskan rasa perit hati dan kecewa mereka di dalam media sosial.

Pada hari penamaan calon PRN Sabah, sekali lagi TS Muhyiddin Yasin membuat pengumuman yang menimbulkan kemarahan sekutunya dari BN apabila beliau mengumumkan Pengerusi PPBM Sabah, Hijiji Mohd Nor sebagai calon Ketua Menteri sekiranya blok pembangkang memenangi PRN tersebut.

Presiden BN, DS Zahid Hamidi menolak cadangan tersebut dengan mengatakan Ketua Menteri Sabah adalah dilantik dari kalangan yang mendapat sokongan ADUN-ADUN BN di Sabah.

PAS yang tidak bertanding langsung di PRN Sabah pula menyokong calon Ketua Menteri dari PPBM berbanding Umno. Sedangkan parti itu bergabung dengan Umno di dalam Muafakat Nasional.

Konflik dan pertembungan di antara BN dan PN ini pasti akan mewarnai pilihan para pengundi di Sabah. Sudah terdengar bisikan di peringkat agar umbi agar penyokong BN dan PN agar tidak mengundi calon dari parti sekutu kerana bimbang kelebihan kerusi parti sekutu akan memberi kesan perlantikan Ketua Menteri kelak.

Tetapi, sebenarnya konflik ini bukan sahaja terhenti di PRN Sabah malah ia juga akan mewarnai isu siapa calon PM dari blok PN dan BN dalam PRU15 nanti.

BN pastinya sukar untuk meyakinkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menyokong bakal PM yang bukan dari parti yang mempunyai peruntukan kerusi terbesar. TS Muhyidin Yasin pasti akan menempuh jalan sukar untuk terus menjadi PM pada penggal akan datang.

Sokongan PAS kepada calon KM dan PM dari PPBM juga boleh meretakkan hubungan parti itu dengan Umno.

Saya menjangkakan gabungan politik opportunis ini tidak akan bertahan lama. Biarlah masa yang akan menentukan.

Sumber :

COMMENTS