PRN Melaka : Pemimpin BN anggap Bersatu tamak dan bongkak

TUNTUTAN PAS dan Bersatu untuk bertanding masing-masing lima dan lapan kerusi sebagai syarat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan tidak munasabah.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata jika laporan itu benar, Umno hanya akan diberi enam kerusi memandangkan jumlah kawasan Melayu adalah 19 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRN Melaka : Pemimpin BN anggap Bersatu tamak dan bongkak

Isham Jalil

Beliau berkata, sembilan lagi kerusi DUN di Melaka adalah kawasan-kawasan pengundi Cina.

“Tuntutan ini amatlah tidak munasabah (malah bongkak dan tamak) memandangkan PN terutama PPBM (Bersatu) tidak mempunyai banyak sokongan dan akar umbi pun di Melaka.

“Malah mereka (PPBM) menang dua kerusi sebelum ini pun sebab pengundi Pakatan Harapan (PH), yang kini tidak lagi bersama mereka.

“Kini jika mereka tuntut kerusi terbanyak tetapi mempunyai sokongan dan sumbangan undi dan jentera yang tersikit, tuntutan ini langsung tidak boleh diterima akal malah mengarut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Isham berkata sesiapa yang terima atau sokong tuntutan Bersatu itu, semestinya ada ‘udang di sebalik batu’.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pemimpin Umno yang masih mahu meletakkan kepentingan Bersatu melebihi parti sendiri supaya menghormati keputusan Perhimpunan Agung Umno dan akar umbi.

“Jika kita terima tuntutan ini waima beri dua kerusi pun kepada PPBM, akar umbi dan penyokong kita sendiri akan protes dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi di kerusi-kerusi tersebut.

“Oleh itu lebih baik kita lawan mereka tiga penjuru sahaja daripada beri mereka kerusi percuma dan mereka memenangkan PH pula.

“Sebab itu kita tidak boleh tunduk dan kita mesti lawan,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysiapost melaporkan PAS dan Bersatu masing-masing menuntut lima dan lapan kerusi sebagai syarat bekerjasama dengan Umno dalam PRN Melaka.
Sehubungan itu, Umno tidak bersetuju dengan permintaan tersebut dan akan bertanding secara solo atas lambang BN pada PRN tersebut yang dijadual berlangsung pada 20 November ini.

Sumber Majlis Tertinggi (MT) Umno memberitahu Malaysiapost, mustahil parti itu dapat memenuhi tuntutan diletakkan Bersatu mahupun PAS jika ingin bekerjasama berhadapan PH pada PRN itu.

BACA JUGA : PH beritahu SPRM siasat kenapa hidupkan projek gas Sabah RM9.4 bilion
Kongsi gambar tak kena masa, Mawar Karim dikecam netizen
Kekayaan Warren Buffet dan Bill Gates digabungkan masih tak dapat atasi Elon Musk

CATEGORIES