PRK Tanjung Piai: Jentera PH siap siaga pastikan kemenangan PH

Pakatan Harapan (PH) akan memastikan jenteranya bersiap siaga untuk bekerja dan bergerak bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kesiapsiagaan jentera antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PRK Tanjung Piai bersama Pengarah Pilihanraya PH Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

“Malam tadi ada pertemuan dengan Pengarah Utama PRK Tanjung Piai bertemu dengan semua ketua-ketua portfolio, ketua Pusat Daerah Mengundi dan ketua-ketua jentera Pakatan Harapan.

“Pertemuan ini bertujuan memastikan jentera PH telah bersiap sedia 100 peratus bekerja dan bergerak untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di Tanjung Piai,” kata Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH untuk PRK kali ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Daerah Pontian, di sini hari.

Dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi, turut hadir Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam Datuk Osman Sapian.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

BERNAMA