PRK Slim : Kemungkinan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bersatu

PRK Slim : Kemungkinan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bersatu

Barisan Nasional (BN) yakin akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan 29 Ogos ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata, kemungkinan besar akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kumpulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout pada PRK berkenaan.

Menurutnya, BN bersama parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah bersiap sedia menghadapi sesiapa sahaja calon dan tidak gentar dengan apa jua strategi yang cuba ditonjolkan pihak lawan.

“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih, kita yakin calon BN akan menang berbanding pertembungan satu lawan satu yang dilihat agak memberi kesukaran kepada kita.

“Siapa pun hendak bertanding, kita tiada masalah dan bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, berdasarkan tradisi pembangkang, PKR tiada masalah untuk bertanding kerusi DUN Slim kerana mereka sudah membina tapak dan meletakkan calon untuk bertanding di situ sejak sekian lama.

Malah, katanya, Bersatu juga bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Apa pun perbalahan yang berlaku sesama mereka, biar mereka selesaikan. Paling penting persiapan gerak kerja jentera BN dan PN untuk menghadapi PRK DUN Slim berada dalam tahap terbaik bagi mempertahankan kerusi itu,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/94002/BERITA/Politik/BN-tidak-terancam

COMMENTS