PRK Parlimen Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember ini

PRK Parlimen Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember ini

Kerajaan tidak boleh menyekat mana-mana individu merentas daerah atau negeri untuk mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah yang bakal diadakan bulan depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana hak mengundi dijamin dalam perlembagaan persekutuan dan setiap individu mesti dipermudahkan untuk keluar mengundi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Kalau kita membuat sekatan, ia agak bertentangan dengan perlembagaan, mereka (pengundi) boleh ambil tindakan ‘challenge’ (cabar) di mahkamah kerana menyekat kebebasan mereka untuk keluar mengundi.

“Misalnya, mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, tapi berasal dari Batu Sapi, mereka perlu dibenarkan balik mengundi dan pulang semula ke Kuala Lumpur, cuma SOP akan diperketatkan supaya tidak berlaku peningkatan kes seperti pilihan raya (negeri) Sabah baru-baru ini,” katanya pada sidang media perkembangan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail berkata, SOP yang baru untuk PRK Batu Sapi yang akan diadakan 5 Dis ini sudah dibentangkan selaras dengan peningkatan kes Covid-19, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat penambahbaikan.

Sebelum ini, SPR menetapkan beberapa garis panduan bagi PRK Batu Sapi , antaranya tiada kempen secara bersemuka dan ziarah calon atau penyokong parti ke rumah tidak lagi dibenarkan.

Dalam pada itu, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membentangkan cadangan penambahbaikan SOP sedia ada di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes Covid-19, terutama di Selangor.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/02/sekat-pengundi-balik-mengundi-bercanggah-perlembagaan-kata-menteri/

COMMENTS