Presiden syarikat pengeluar motosikal Yamaha, Yoshihiro Hidaka, cedera di sebelah tangan selepas didakwa dikelar
oleh anak perempuannya, Hana Hidaka, di kediaman mereka di Jepun, lapor laman berita VN Express hari ini.
Polis telah menahan Hana kerana disyaki cuba membunuh bapanya yang berusia 61 tahun itu.
Dia dilaporkan menyerang mangsa menggunakan pisau dapur sekitar pukul 3 pagi,
Isnin lalu, di kediaman mereka di Iwata, wilayah Shizuoka, menurut laporan akhbar The Japan Times.
Pihak polis tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada Hana yang mendakwa dia telah dipukul oleh bapanya.
Menurut polis, Hana sebelum itu membuat satu lagi panggilan pada pukul 5.30 petang hari sebelumnya, menyebabkan polis pergi ke rumah tersebut.
“Yoshihiro mengalami luka kecil pada tangan kirinya,” kata polis seperti yang dilaporkan laman berita tempatan, Tokyo Reporter.
Dalam pada itu, Yamaha Motor enggan mengulas mengenai kes tersebut kerana ia bersifat peribadi, sementara polis masih menjalankan siasatan.
BACA: Apa hukum termakan makanan dari masakan kumpulan ajaran sesat, ini jawapan Ustaz