Presiden MCA umum MOF setuju salur peruntukan kepada TAR UC

Presiden MCA umum MOF setuju salur peruntukan kepada TAR UC

Kementerian Kewangan bersetuju kembali menggunakan sistem dan mekanisme asal yang diguna pakai sejak 1969 hingga 2018 dalam menyalurkan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), kata Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Katanya, peruntukan akan disalurkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada TAR UC bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Beliau berkata, KPT juga dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia perbelanjaan mengurus dan pembangunan kolej universiti itu.

“Peruntukan kepada TAR UC tidak akan disalurkan secara ‘adhoc’ kepada pihak ketiga yang bukan pemilik kolej universiti. Ia tidak pernah berlaku sejak puluhan tahun lamanya sehingga Pakatan Harapan memerintah pada Mei 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Disember tahun lalu, Wee mempersoalkan tatacara Putrajaya, selepas Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng bersetuju menyalurkan RM40 juta ke tabung amanah pendidikan Persatuan Alumni TARCian (TAA).

Hari ini, Wee berkata, selepas beberapa perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, kementeriannya bersetuju menarik balik baki peruntukan yang diberikan Lim kepada TAA secara “adhoc” dan “off budget”.

“Kementerian Kewangan akan menyalurkan baki peruntukan 2019 berjumlah RM18 juta yang diperoleh dari TAA-ETF kepada pemilik asal TAR UC dan pembayaran akan dibuat melalui KPT mengikut tatacara penyaluran kewangan yang betul.”

Katanya, bagi meneruskan komitmen Putrajaya seperti dilakukan sejak penubuhan kolej universiti itu, peruntukan geran padanan (OE) sebanyak RM40 juta akan disalurkan kepada TAR UC melalui KPT tahun ini menerusi Belanjawan 2020.

“Bagi pihak TAR UC, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tengku Zafrul yang sangat memahami masalah dihadapi institusi pengajian tinggi ini dan bersetuju memberi bantuan kewangan kepada TAR UC.

“Kerajaan Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri akan terus komited untuk membantu TAR UC dan menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi tanpa mengira kaum.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/27/peruntukan-tar-uc-disalur-melalui-kementerian-pengajian-tinggi-semula/

COMMENTS