Seorang pramugari telah ditangkap kerana cuba menyeludup hampir satu kilogram emas dari Muscat ke Kannur
Dengan menyembunyikan emas tersebut di dalam duburnya, mengikut laporan portal berita NDTV semalam.
Pendedahan ini berdasarkan kenyataan dari sumber Jabatan Perisikan Hasil (DRI) Cochin.
Ahli-ahli DRI menahan pramugari tersebut, Surabhi Khatun, yang merupakan penduduk Kolkata, pada Selasa yang lalu.
Beliau telah ditangkap setibanya dari Muscat, Oman, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur.
“Semasa pemeriksaan badan suspek, kami menemui 960 gram emas yang disembunyikan di dalam duburnya,” kata sumber tersebut.
Selepas disoal siasat, beliau telah dihadapkan ke mahkamah majistret dan direman selama 14 hari di sebuah penjara wanita di Kannur, mengikut kenyataan daripada sumber DRI kepada agensi berita Press Trust of India.
Kes tersebut adalah yang pertama seumpamanya dilaporkan di India.
Siasatan terperinci dan bukti yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan bahawa dia telah beberapa kali menyeludup emas sebelum ditahan.