Politik ‘nombor’ jadi penentu menang atau kalah

Politik ‘nombor’ jadi penentu menang atau kalah

Tidak ada mana-mana parti politik ketika ini yang tidak mencongak peluang mereka untuk mendapatkan undi dan sokongan untuk kembali atau kekal berkuasa. Tak kiralah parti reformasi atau parti yang masih dengan wirid bangsa dan agama. Semua parti ini mahu undi dan mahu kuasa.

Saya gariskan ungkapan ini sebagai latar bagaimana parti-parti ini berfungsi untuk mencapai objektif berparti. Dan, bagaimana ahli politik berjuang untuk kembali menjadi relevan dan bernafas.

Kedua-dua pihak baik PH mahupun PN ketika ini sedang gigih melobi antara satu sama lain, dan bagi saya, ini dikira adil kerana parti politik bebas untuk mempengaruhi antara satu sama lain. Tidak ada halal atau haram dalam kerja-kerja melobi ini jika ia berpandukan kepada latar yang saya nyatakan di atas.

Dalam demokrasi amalan kita, jumlah nombor akan menjadi penentu kemenangan, bagi yang kalah akan menggunakan hujah moral seperti ‘kita berprinsip’ atau ‘kita kekal bermoral’. Hujah ini menjadi Standard Operating Procedure (SOP) bagi kumpulan atau parti yang tewas mengejar atau mendapatkan ‘numbers’. Yang menang dan kalah, sama-sama bersetuju menggunakan formula ini iaitu menang sebab memperolehi majoriti dan kalah kerana kehilangan majoriti.

Kisah-kisah pengkhiatan akan sentiasa ada dalam sejarah bangsa ini. Anwar suatu ketika dulu juga digelar pengkhianat setelah merancang mengagalkan agenda Mahathir Mohamad ketika krisis kewangan Asia 1997. Tunku Abdul Rahman juga pernah dikatakan sebagai pengkhianat kerana mengeluarkan Singapura dari Malaysia. Mahathir juga tak terlepas dari dituduh pengkhianat oleh Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) suatu masa dulu. Tetapi semua ini boleh berubah pada bila-bila masa apabila kita memerlukan ‘numbers’ untuk menjadi kerajaan.

Setelah mendapat ‘numbers’, kita mencari hujah merasionalkan kembali ungkapan-ungkapan khianat terdahulu. Kita mungkin menggunakan hujah prinsip, contohnya, Tun kini (2018) telah kembali kepada prinsip asal perjuangan iaitu menolak kleptokrasi. Begitulah bunyinya, dan bunyi-bunyi ini akan kedengaran lagi selepas ini.

Saya cuba menerangkan satu naratif politik yang sedang kita geluti ketika ini. Selain daripada naratif politik lama yang menggunakan agama dan perkauman, kita juga hari ini terperangkap dengan naratif politik ‘numbers’. Politik ‘numbers’ ini lebih utama dan berada di atas daripada agenda lain. Agenda reformasi, polisi, bangsa, agama, prinsip adalah penghias kepada ‘numbers’ yang kita miliki atau tidak kita miliki.

Kerja yang akan gagal

Saya belum pernah lupa suatu waktu dulu, ketika saya memimpin suatu kerja untuk merekrut pemuda-pemuda pelbagai bangsa (khususnya Melayu) untuk menyertai DAP. Usaha ini rupanya tersepit apabila isu ‘numbers’ ini muncul. Prestasi saya diukur sejauh mana ‘numbers’ yang saya peroleh. Akhirnya kita bergaduh merasionalkan ‘numbers’ yang diperlukan.

Dan ini mengesahkan lagi bahawa, naratif politik ini akan gagal. Saya sebagai manusia biasa, tidak mahu mengambil kerja yang saya tahu ia akan gagal.

Jika politik ‘numbers’ ini boleh berjaya, pasti orang Cina akan meramaikan anak mereka, orang India menambah ahli keluarga mereka dan Melayu akan berbini berbilang-bilang untuk menambah anak yang banyak. Sebab yang banyaklah yang akan menang.

Seperti yang saya sebutkan, kita semua telah bersetuju mengguna pakai sistem ‘numbers’ ini. Inilah sistem yang kita rasakan terbaik ketika ini, saya sendiri tidak mempunyai formula lain untuk menggantikan naratif politik ‘numbers’ ini.

Jadi, apa jua kesan dari sistem ini, kita sama-sama sedia menerimanya. Dalam naratif ini, saya percaya masih banyak ruang yang boleh ditambah baik agar yang kalah, tidak kalah semua (dianiaya) yang yang menang pula, tidak menjadi zalim. Inilah hujung agenda kita berpolitik.

MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis dan anggota jawatankuasa DAP Johor.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/522717

COMMENTS